Warga emas meninggal dunia akibat 'patah hati' selepas rumah dinaiki bah

Astro Awani
Oktober 15, 2022 03:26 MYT
Foto Amburgey di bilik tidurnya yang ditenggelami air sekurang-kurangnya sedalam empat kaki, namun dia hanya mampu termangu dan tidak berganjak dari katilnya. - Foto GoFundMe
SEORANG wanita warga emas yang terlalu bersedih kerana kehilangan kediamannya akibat banjir meninggal dunia pada usia 97 tahun.
Memetik laporan media tempatan, Mae Amburgey menghembuskan nafas terakhir pada 8 Oktober lepas akibat sindrom 'patah hati'.
Cucunya, Missy Amburgey-Crovetti memaklumkan, kematian neneknya itu berlaku beberapa bulan selepas warga emas itu dipaksa meninggalkan kediamannya di Highway 119, Kentucky, Amerika Syarikat (AS) susulan banjir buruk yang berlaku pada Julai lepas.
Malah kejadian tersebut turut menyebabkan 37 kematian termasuk empat kanak-kanak.
BACA: Banjir Kentucky: 25 dilapor maut, angka korban dijangka terus meningkat
Laporan tersebut turut menyatakan bilik tidur Amburgey ditenggelami air sekurang-kurangnya sedalam empat kaki sehingga Amburgey hanya mampu termangu dan tidak berganjak dari katilnya.
Foto situasi tersebut tular sehingga mencetuskan kutipan GoFundMe bertujuan untuk mengutip bantuan bagi membaik pulih kerosakan di kediamannya.
Bagaimanapun, kerosakan yang dialami terlalu teruk sehingga menyukarkan proses baik pulih.
“Saya percaya nenek saya meninggal dunia akibat patah hati kerana nenek saya begitu rindukan kediamannya.
“Saya merasakan sekiranya bukan disebabkan banjir yang merosakkan tempat tinggalnya itu, dia tidak akan mengalami trauma yang begitu buruk,” jelas cucunya itu.
Untuk rekod, banjir buruk yang melanda Kentucky Julai lepas mengorbankan 37 nyawa dengan kerosakan infrastruktur yang sangat dahsyat.
#Amerika Syarikat #banjir #warga emas #Kentucky