KUANTAN: Seorang pesara kerajaan mendakwa kerugian lebih RM4.3 juta akibat terpedaya dengan sindiket 'love scam', selepas berkenalan dengan seorang lelaki kononnya warganegara Amerika Syarikat menerusi laman Facebook, tahun lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata wanita berusia 66 tahun itu dikatakan telah membantu suspek yang mendakwa bekerja sebagai ahli kaji bumi di sebuah syarikat cari gali minyak, dan menetap di Amerika Syarikat antara 2 Dis 2021 hingga 31 Mei lepas.

"Pelbagai alasan telah diberikan suspek untuk memperdaya mangsa antaranya membantu lelaki itu menjelaskan hutang, pembayaran kontrak kerja, upah pekerjaan, kos perubatan selain kos pembayaran peguam urusan harta warisan bapa suspek, yang dikatakan mati akibat tekanan masalah hutang.

"Sepanjang tempoh berkenaan, mangsa telah membuat 190 transaksi ke dalam pelbagai akaun bank diberikan oleh suspek dengan kerugian berjumlah RM4,342,500," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, mangsa yang disedari telah diperdaya dengan sindiket berkenaan telah membuat laporan polis semalam, bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Dalam kes berasingan, Ramli memaklumkan seorang lelaki kerugian RM1.5 juta, selepas terpedaya dengan pelaburan penanaman pokok yang akan membuahkan 'X-Fruit' seluas 30 hektar, yang dikatakan boleh diproses menghasilkan minyak untuk kegunaan sebagai bahan api kapal terbang.

Beliau berkata, mangsa berusia 38 tahun itu telah dijanjikan akan memperolehi keuntungan tiga kali ganda daripada modal pelaburan, dalam jangka masa tiga tahun.

"Mangsa telah bersetuju dan dapat mencari pelabur daripada Kemboja dengan wang pelaburan dikumpulkan sebanyak AS $500,000, yang dimasukkan ke akaunnya, sebelum dipindahkan ke akaun bank suspek dengan tiga transaksi berjumlah RM1.5 juta," katanya menambah kesemua transaksi dilakukan pada pertengahan tahun 2015.

Ramli berkata selepas hampir tiga tahun, mangsa telah cuba bertanyakan tentang perkembangan pelaburan itu namun panggilan telefonnya disekat malah usaha mengesan suspek juga gagal.

Mangsa yang berasa telah diperdaya dan ditipu dengan pelaburan tidak wujud itu telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, polis mengingatkan orang ramai jangan terpedaya dengan pujuk rayu melalui media sosial berikutan pelaku jenayah menggunakan pelbagai muslihat untuk memperdaya mangsa.

-- BERNAMA