Rakyat Malaysia di sini, yang sedang dilanda demam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), akan mengadakan perjumpaan di sebuah hotel mewah pada malam 5 Mei untuk mengikuti keputusannya melalui satu skrin besar secara beramai-ramai.

Perjumpaan itu dianjurkan sekumpulan bekas penuntut sekolah La Salle yang diketuai peguam Chuen Lim dan Robert Teoh, pemilik restoran Chillipadi, yang begitu terkenal di sini.

Ia akan diadakan di sebuah hotel milik rakyat Malaysia, Seasons Hotel, di 348 St Kilda Road, berdepan dengan Shrine of Remembrance, mulai 7 malam. Setiap peserta dikenakan bayaran A$10, termasuk untuk hidangan makanan ringkas Malaysia.

Mereka juga berpeluang menikmati pelbagai masakan Malaysia yang disajikan restoran Orient East di hotel berkenaan.

"Setakat ini, kira-kira 50 orang telah membuat tempahan untuk menghadirinya dan kami menjangka lebih ramai akan berbuat demikian menjelang Sabtu.

"Kami menjangka suasana pada malam itu akan menjadi meriah dan gamat apabila keputusan dipamerkan pada skrin," kata Lim, yang berasal dari Teluk Intan.

Lim berkata beliau gembira apabila melihat lebih 1,000 rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pengundi luar negara mengundi pada Ahad di Konsulat Malaysia, yang juga terletak di St Kilda Road.

Katanya idea untuk menganjurkan perjumpaan itu timbul apabila sekumpulan bekas pelajar sekolah La Salle menikmati makan tengah hari di Orient East kira-kira tiga minggu lepas.

"Kami rasa adalah sesuatu yang menarik jika kami dapat berkumpul pada hari bersejarah itu untuk berkongsi pandangan dan hasil ramalan kami," katanya.