Warga Venezuela di Argentina protes tuntut pilihan raya bebas

Agensi
April 7, 2024 00:17 MYT
Warga Venezuela mengadakan protes menentang kerajaan Presiden Nicolas Maduro, di Obelisk, Buenos Aires, Argentina, 6 Apr 2024. - REUTERS
PULUHAN migran Venezuela yang menetap di Argentina berarak di Buenos Aires bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Presiden Nicolas Maduro serta menuntut pilihan raya bebas.
Peserta demonstrasi mendakwa Kedutaan Venezuela di Argentina tidak membenarkan rakyatnya mendaftar sebagai pemilih dan menyekat daripada mengundi.
Protes ini juga merupakan salah satu daripada lebih 50 protes di seluruh dunia yang diadakan untuk menunjukkan sokongan kepada pemimpin pembangkang Maria Corina Machado, yang dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya di bawah kerajaan Maduro.
Sementara itu, sumber kerajaan Venezuela memberitahu, kerajaan akan membenarkan enam pembantu Machado yang kini berada di Kedutaan Argentina di Caracas melakukan perjalanan selamat ke Argentina.
Pembantu-pembantu tersebut termasuk pengurus kempen Magalli Meda yang sebelum ini dianggap sebagai calon pengganti berpotensi untuk Machado dalam pilihan raya presiden.
Beliau sebelum ini mencari perlindungan di kedutaan pada Mac lalu selepas pejabat peguam negara mengumumkan waran penangkapan.
#Venezuela #pilihan raya bebas #Nicolas Maduro #Argentina