PUTRAJAYA: Berkuat kuasa 4 Julai, warganegara Malaysia yang pulang ke negara ini tidak perlu lagi mengisi dan melengkapkan ciri-ciri pas pengembara dalam aplikasi MySejahtera, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Buat permulaan, katanya pemansuhan tersebut hanya terpakai kepada warganegara Malaysia sebelum diperluaskan secara berperingkat kepada pemegang pas sosial, pas pelajar dan penduduk tetap kelak.

"Kelonggaran ini bagi memudahkan warganegara kita kembali ke Malaysia, di samping keadaan sistem kesihatan kini berada pada tahap baik dan memuaskan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata ciri-ciri pas pengembara tersebut masih terpapar di aplikasi MySejahtera dan perlu dilengkapkan oleh pengembara bukan warga Malaysia sebelum memasuki negara ini.

"Selain pemantauan kes-kes COVID-19 dalam kalangan pengembara luar, ciri-ciri tersebut perlu dilengkapkan oleh mereka supaya Kementerian Kesihatan Malaysia berupaya membuat pemantauan rapi ke atas penyakit berjangkit lain dari luar negara seperti cacar monyet," katanya.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan pengembara ke Malaysia termasuk warganegara dan bukan warganegara perlu mengisi pas pengembara, berfungsi memastikan pengembara melengkapkan borang deklarasi kesihatan dan selain pemberian Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO).

-- BERNAMA