IPOH: Waris keluarga kepada dua mangsa yang tertimbus dalam tragedi runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, Mac lalu akan dipanggil menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi tujuan pengesahan identiti.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, proses berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat sebaik semua cebisan tulang dan rangka kedua-dua mangsa dibawa keluar dari lokasi runtuhan.

"Setakat ini waris belum hadir untuk berikan sampel, tetapi kita akan panggil mereka sebaik proses membawa keluar semua rangka selesai," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di lokasi pada Selasa dan Rabu telah menemukan dua cebisan rangka manusia dipercayai milik kedua-dua mangsa.

Menurutnya, semua hasil penemuan itu telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan ujian DNA.

"Operasi pada Rabu telah berjaya menemui cebisan tulang manusia, stoking dan kasut dipercayai milik mangsa kedua.

"Kesemua itu ditemukan dari serpihan jentera yang masih tertimbus di bawah timbunan batu," katanya. Sinar Harian