Ruang maya hiburan tempatan pada Jumaat dikejutkan dengan penayangan video ucapan daripada penyanyi yang sedang meningkat naik, Shila Amzah. Dengan busana serba putih, penyanyi itu yang sedang hangat bercinta dengan pelakon Shaarnaz Ahmad telah menyampaikan ucapan ringkas yang turut diselitkan lagu tema filem popular Ombak Rindu.

Apa sudah jadi? Membawa masalah keluarga dan cinta ke depan muka khalayak adalah trend di Hollywood, bukannya di Malaysia. Video itu akan menjadi ‘trend-setter’ kepada umum, sesuatu di luar norma bangsa Melayu, beragama Islam.

Saya terpanggil untuk mencatatkan warkah terbuka buat Shila Amzah yang kini sedang bergelut dalam sarang masalah antara cinta, keluarga dan kerjaya. Saya tertarik dengan ayat ‘sedang meningkat naik’ yang telah saya gunakan di atas dan mahu menghuraikannya sekaligus menyedarkan Shila akan statusnya sekarang.

Ke hadapan adik Shila Amzah yang sering menjadi tajuk utama media dan bahan bualan di ruang maya. Sejak akhir-akhir ini saya sering terbaca nama adik terpampang di ruang media atas perkara yang tidak penting sebaliknya menenggelamkan nama adik di mata khalayak yang lebih gemar untuk berbicara mengenai kejayaan adik.

Adik,

Perjalanan kerjaya adik boleh saya anggap baru saja bermula walaupun saya telah pun mengenali adik sejak adik bergelar Shila Tekno sewaktu adik masih di bangku sekolah sekitar tahun 2000. Dalam tempoh dari tahun 2000 hingga 2013, tidakkah adik sedar akan pengorbanan yang telah dilakukan oleh ayah dan ibu adik? Bagaimana mereka bersusah payah mahu melihat adik berjaya setaraf penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Jarak masa dari tahun 2000 hingga sekarang merupakan tempoh yang paling panjang digunakan oleh seseorang artis untuk mencecah status artis Gred A seperti yang adik kecapi sekarang. Semua ini berlaku kerana sokongan dua insan paling bermakna dalam hidup adik iaitu ibu dan ayah adik.

Mereka tidak pernah putus asa untuk mengekori adik ke mana-mana saja. Sehinggalah adik berjaya mengharumkan nama negara di Asian Wave 2012 yang telah berlangsung di Shanghai, China baru-baru ini. Adik harus sedar perkara tersebut dan perlu disedarkan dari lamunan itu.

Mahukah angan-angan yang adik impikan dulu bertukar semula menjadi angan-angan setelah ia berjaya menjadi realiti untuk tempoh yang sekejap? Tentu sekali tidak, bukan?

Menerusi sebuah program realiti barulah nama adik kembali diingati orang. Janganlah kerana masalah yang adik hadapi sekarang meneruskan lagi persepsi orang yang artis realiti adalah artis mi segera yang popular sekelip mata dan jatuh terduduk sekelip mata. Perancangan kerjaya yang dirangka oleh ibu dan bapa adik hanya berjaya setelah bertahun-tahun lamanya mereka berkorban untuk adik.

Jika sekitar tahun 2012 nama adik menjadi tajuk utama media kerana kejayaan adik, perkara yang sebaliknya berlaku pada tahun 2013. Adik telah merosakkan harapan banyak pihak lebih-lebih lagi harapan ibu-bapa adik yang telah berkorban wang ringgit bagi memastikan kejayaan tersebut dikecapi dalam tempoh yang panjang.

Terlalu banyak berita yang tidak diperlukan adik untuk menjadi seorang penyanyi bertaraf Siti Nurhaliza terpampang di dada akhbar, mahu pun di ruang maya blog, Facebook dan Twitter sejak akhir-akhir ini. Berita-berita yang boleh memadamkan kejayaan yang telah adik usahakan.

Mengapa? Itukah yang adik inginkan demi mengejar sekeping hati bernama cinta? Usia adik masih muda. Kejarlah cita-cita adik dahulu, kumpullah harta sebanyak mungkin dahulu dan kemudian barulah mengejar cinta.

Saya sempat menonton video yang adik telah sampaikan kepada setiap media. Video-video viral adik yang telah membawakan pelbagai lagu dalam pelbagai rentak di YouTube seakan dilupakan orang setelah menonton video terbaru yang amat mengejutkan itu.

Sebagai insan yang berada di dalam video tersebut, hanya adik yang mengetahui untuk siapakah ucapan tersebut ditujukan. Isi hati adik, hanya adik dan Tuhan saja yang tahu. Namun, untuk kami yang berada luar dari video tersebut hanya boleh mencetuskan pelbagai persepsi. Sama ada ucapan itu ditujukan untuk keluarga atau pun kepada kekasih adik.

Sedar atau tidak, video tersebut selain mengundang rasa simpati penonton, video itu juga turut dijadikan bahan jenaka. Sekiranya ucapan tersebut ditujukan kepada keluarga adik, di mana tatasusila adik sebagai seorang Melayu yang beragama Islam? Hormat kepada ibu bapa adalah teras seorang Melayu. Adik perlu sedar yang membelakangkan ibu-bapa bukanlah satu perkara yang dituntut. Lebih-lebih lagi mereka itulah yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan adik sekarang.

Satu persatu kejayaan adik ditutup dengan kontroversi yang heboh diperkatakan orang sekarang. Sekiranya itu yang adik mahukan, teruskanlah. Kecewakanlah harapan ibu-bapa adik yang mahu melihat adik terus mengecap kejayaan.

Kejayaan yang adik kecapi tidaklah terlalu hebat. Jika mahu dibandingkan masih belum penuh almari di rumah adik dengan trofi-trofi kemenangan adik, baik yang dikumpul di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa.

Kira balik, berapa banyak pertandingan yang telah adik sertai dan adik muncul sebagai JUARA. Baru lapan, adik. Baru lapan dan bukannya 18 atau 80. Daripada lapan anugerah yang berjaya dimenangi, ada berbelas lagi yang hanya sekadar pencalonan. Saya sertakan di bawah ini sekiranya adik terlupa.

•Pemenang Shanghai World Star Quest 2008 Lagu Terbaik (Memori Tercipta)**Anugerah Emas •Anugerah Planet Muzik 2010 Duo/Kumpulan Terbaik (3 Suara) •Anugerah Industri Muzik ke 18 Persembahan Vokal Duo/kumpulan Terbaik (3 Suara) •Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 Artis Duo/Kumpulan Popular (3 Suara) •Asian Wave 2012 (Shanghai, China) Tempat Pertama •Anugerah Industri Muzik ke 19 Lagu Pop Terbaik (Patah Seribu) Lagu Terbaik (Patah Seribu) •Anugerah Shout! 2012 Power Vocal House Award

Kemenangan adik di Shanghai belum menjadikan adik setaraf Datuk Siti Nurhaliza. BELUM. Perjalanan itu masih panjang dan ia tidak perlu diduga dengan kontroversi cinta untuk adik menuju ke puncak dan mengecapi kejayaan yang lebih besar.

Bakat adik sangat luar biasa. Adik boleh bermain alat muzik dan boleh juga mencipta lagu sendiri. Gunakanlah bakat tersebut sebaiknya. Buangkan saja masalah yang diduga untuk adik itu ke tepi dan teruslah berjalan ke kemuncak. Dua insan yang sentiasa menyokong kejayaan adik selama ini tidak akan berputus asa kerana adik merupakan darah daging adik.