Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menegaskan wartawan di negara ini berhak menyaman ahli politik atau menteri yang mendakwa kenyataan mereka disalah tafsir selepas dilaporkan.

Mohamed Apandi berkata langkah itu perlu sekali sekala diambil oleh pihak media sebagai pengajaran kepada ahli politik atau menteri.

"Sekali sekala, kamu perlu beri pengajaran kepada mereka. Saya juga tidak suka orang yang berbohong.

"Apabila kenyataan sudah direkodkan dan apa yang ditulis oleh wartawan itu adalah betul tetapi dia menafikannya, bawa dia ke mahkamah!" kata Mohamed Apandi selepas majlis dialog bersama pengamal media bertajuk 'Media dan Undang-undang: Perspektif Negara' di sini pada Selasa.

Menurut Mohamed Apandi, beliau sudah mengenalpasti dan melihat beberapa insiden oleh satu atau dua menteri yang menafikan kenyataan mereka sendiri.

"Berdasarkan pemerhatian saya, tidak semua menteri bertindak demikian, mungkin satu atau dua. Kamu boleh pilih salah satu dan saman," tambahnya.

Mohamed Apandi berkata demikian ketika mengulas soalan pengarang dan wartawan, R. Nadeswaran mengenai langkah yang boleh diambil bagi pihak media jika didakwa oleh ahli politik atau menteri kerana salah tafsir kenyataan mereka.