Wartawan cedera disamun, hilang 'ang pow' RM3,000

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 26, 2018 10:48 MYT
Batang besi yang diubah suai dengan palam pencucuh yang digunakan suspek dalam insiden tersebut. - Astro AWANI
Seorang wartawan akhbar berbahasa Cina di Pulau Pinang luka di lengan dan lebam di bahagian muka selepas bergelut dengan dua penyamun yang melarikan beg tangannya dalam kejadian di Taman Impian Indah, Machang Bubok pada Isnin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari sewaktu mangsa, Lee Pei Pei, 36 tahun, daripada akhbar Kwong Wah Yit Poh, dalam perjalanan ke rumah rakannya untuk keluar makan tengah hari.
Menurut Pei Pei, ketika sedang mencari rumah rakannya, dia dihampiri dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
Tiba-tiba salah seorang daripada mereka pecahkan cermin di bahagian tempat duduk penumpang depan menggunakan sebatang besi yang diubah suai dengan palam pencucuh dan mencapai beg tangannya.
Mangsa bergelut cuba menghalang tindakan lelaki itu tetapi suspek bertindak menumbuk mukanya.
Pei Pei mengalami luka di tangan selain lebam di bahagian mata.
Antara barang yang dapat dilarikan kedua-dua suspek termasuk dua telefon pintar jenama iPhone dan Oppo selain duit ‘ang pow’ kira-kira RM3,000.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkumpulan.
#Kwong Wah Yit Poh #Lee Pei Pei #pecah cermin kereta #pecah tingkap #pulau pinang #samun #wartawan