Seorang wartawan 'Malaysian Gazette' telah dikritik hebat di laman media sosial kerana mengusik cebisan kulit manusia yang ditemuinya ketika membuat liputan di lokasi pesawat MH17 terhempas.

Tindakan wartawan itu mula diketahui umum menerusi paparan sebuah video yang bertajuk ‘MH17 - Cebisan Kulit di Lokasi Nahas’ yang dimuatnaik ke akaun YouTube Malaysian Gazette.

Di dalam video itu, wartawan berkenaan dilaporkan berkata “Malaysia Gazette telah menjumpai cebisan yang dipercayai kulit manusia di lokasi MH17 terhempas.”

Turut dilaporkan bahawa cebisan kulit dengan kesan terbakar itu kemudiannya diangkat oleh wartawan tersebut dengan menggunakan sebatang kayu.

Video dimuatnaik ke akaun YouTube Malaysian Gazette pada 23 Julai tetapi kini telah dipadamkan.

Video itu turut dikutuk oleh beberapa penulis blog.

Antaranya blog Uppercaise yang mengecam perbuatan itu dengan bekata "Malaysia kini boleh berbangga dengan pencapaian antarabangsa yang baru: tersenarai di dalam 'MH17 Journalism Hall of Shame'.

Tindakan itu turut mendapat reaksi marah oleh pengguna media sosial.