Rakyat Malaysia perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika membaca dan menerima sebarang maklumat melalui Internet terutamanya media sosial yang sering kali terbukti tidak berasas dan mengelirukan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata kemunculan Internet telah membolehkan semua orang berkomunikasi dengan lebih mudah antara satu sama lain, namun sesetengah pihak menggunakan platform berkenaan secara negatif untuk menyebarkan berita palsu dan kebencian antara kaum dan agama.

"Oleh demikian, semangat persefahaman perpaduan dan kebersamaan inilah yang amat diperlukan rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran dan isu-isu semasa yang kita hadapi," katanya pada Majlis Anugerah Industri Graduan Cemerlang 2015, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di sini, Khamis.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 116 anugerah disampaikan kepada 98 penerima tahun ini yang berjaya mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Turut hadir, Naib Canselor Prof. Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha.

Jailani berkata pendidikan merupakan teras pembangunan sesebuah negara kerana ia petunjuk bagi kerajaan untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang baik kepada rakyatnya.

"Kerajaan Malaysia telah lama menekankan kepentingan pendidikan.

"Ketika Malaysia berusaha ke arah menjadi sebuah negara yang progresif, harmoni dan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, keupayaannya untuk mencipta lebih banyak tenaga kerja yang berdaya saing, sebahagian besarnya adalah bergantung kepada bagaimana ia meningkatkan kualiti pelajarnya, pada hari ini," katanya.