Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya berwaspada dengan apa yang dilabelkan 'tsunami fitnah' ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Najib memberikan contoh fitnah yang dilakukan pembangkang yang menyebarkan gambar beliau yang diubah kononnya melihat dan mengira wang yang berada di atas meja.

Jelas Najib, gambar tersebut sebenarnya memaparkan beliau bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar ketika melihat model replika projek Taman Tugu.

"Janganlah percaya dengan berita-berita atau gambar seperti ini dalam media sosial sebab mereka (pembangkang) akan lakukan sebanyak mungkin fitnah," katanya.

Pengerusi BN itu berkata pilihan raya sepatutnya menjadi pertandingan mengenai agenda untuk rakyat dan negara.

"Maknanya kita kena pilih mana satu agenda yang terbaik untuk negara dan rakyat, kenapa kita perlu beralih kepada semua ini (fitnah)?

"Sebab apabila menggunakan ini (fitnah), maknanya anda sudah mempertimbangkan hakikat bahawa agenda anda untuk negara ini kurang baik, tak boleh mengatasi agenda BN untuk rakyat dan negara. Anda sangat terdesak untuk terlibat dalam politik murahan," katanya.

Najib berkata pembangkang yang diketuai DAP dengan kerjasama Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai agenda yang besar untuk rakyat, kecuali untuk menjatuhkan beliau dan kerajaan BN

Katanya, pilihan raya ini sepatutnya menjadi pertarungan yang adil berdasarkan amalan demokrasi untuk memilih kerajaan berwibawa yang melaksanakan dasar dan idea mereka.

Mengulas sama ada BN akan menggunakan Akta Berita Palsu kepada pihak yang membuat fitnah, Najib berkata "kita boleh ambil tindakan tetapi mereka akan tuduh kita gunakan kekuasaan keterlaluan."

BACA: Najib cipta hashtag #TsunamiPHitnah tempelak pembangkang

Najib turut optimistik BN akan terus mendapat mandat rakyat pada PRU14 nanti.

"Saya optimistik kita boleh lakukan dengan lebih baik, tetapi saya tidak mahu menyatakan kita akan menang besar. Saya hanya ingin menyebut kita akan mendapat mandat daripada rakyat dan saya mengharapkan kemenangan yang besar bagi BN," katanya.

Pengerusi BN itu berkata kemenangan BN akan mengekalkan kerajaan yang stabil dan kuat serta membawa keyakinan khususnya dalam sektor ekonomi.

"Ini akan mewujudkan lebih keyakinan dan pasaran global akan memberi respons yang sangat positif. Saya fikir anda akan bercakap tentang bursa saham, pasaran ekuiti, pelaburan asing dan sekuriti," katanya.

Ditanya kononnya akan berlaku tsunami Melayu, Najib berkata: "Pilihan raya sebelum ini mereka uar-uarkan slogan 'ini kalilah'. Kita tak naklah pengundi ini tertipu sekali lagi, banyak kali dah mereka tertipu tiap-tiap kali pilihan raya mereka akan uar-uarkan slogan untuk meraih sokongan rakyat.

"Pilihan raya ini bukan soal slogan sahaja. Ia tentang agenda, fokus kepada agenda apa nak dibuat untuk rakyat. Berjuang atas dasar itu," katanya.