KUALA LUMPUR: APABILA bercakap tentang sambutan Hari Malaysia, umum mengetahui tarikh 16 September 1963 menyaksikan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan menjadi Malaysia dengan penggabungan tiga negeri iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura.

Selain diraikan sebagai cuti umum setiap tahun sejak 2009, banyak khazanah tinggalan sejarah Hari Malaysia sebenarnya masih disimpan rapi demi mempertahan kedaulatan negara.

Watikah Pemasyhuran Hari Malaysia antara koleksi asli yang ditempatkan di Arkib Negara dan tidak dipertonton kepada umum demi menjaga ‘keselamatan’ dokumentasi yang disediakan pada tahun 1963 itu.

Menurut sumber Arkib Negara, ia disediakan untuk pengisytiharan Hari Malaysia, menurut Arkib Negara, material watikah yang diperbuat daripada kulit kambing itu mempunyai tiga versi bahasa iaitu Bahasa Melayu (tulisan jawi), Bahasa Melayu (tulisan rumi) dan Bahasa Inggeris (tulisan rumi).

“Hiasan dan reka bentuk watikah menggunakan hiasan dan reka bentuk manuskrip Melayu selain kerawang yang memperlihatkan kedua-dua versi seperti senaskhah buku.

“Di dalam watikah itu juga hanya meletakkan nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Abdul Rahman Putra dalam tulisan jawi,” katanya.

Berikut merupakan antara isi kandungan yang terkandung di dalam watikah berkenaan:

“Maka dengan Nama Allah Yang Maha Murah Lagi Maha Mengasihani, saya, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang Di-Pertuan Negara Singapura, Yang Terutama Yang Di-Pertua Sabah dan Yang Terutama Gabenor negeri Sarawak dengan ini mengisytiharkan dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada 16 haribulan September tahun 1963 bersamaan dengan 28 haribulan Rabiulakhir tahun Hijiriyah 1383, Malaysia yang mengandungi negeri Pahang, negeri Terengganu, negeri Kedah, negeri Johor, Negeri Sembilan, negeri Kelantan, negeri Selangor, negeri Perak, negeri Perlis, negeri Pulau Pinang, negeri Melaka, negeri Singapura, negeri Sabah dan negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rabbil ‘Alamin akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini."

Selain watikah pemasyhuran, sebuah meja kayu yang dilengkapi dengan 14 jata negara pada setiap sisinya turut berada dalam koleksi Arkib Negara yang dipamerkan di Memorial Tunku Abdul Rahman.

Meja Hari Malaysia antara koleksi yang dipamerkan di Memorial Tunku Abdul Rahman di Arkib Negara.

Meja Malaysia itu diperbuat daripada kayu dan digunakan ketika Upacara Pemasyhuran Malaysia pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Pemasyhuran Malaysia telah dibaca oleh Tunku Abdul Rahman Putra.

Antara koleksi foto asal di Arkib Negara Malaysia semasa pemasyhuran Malaysia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Selain watikah dan meja Hari Malaysia, satu lagi koleksi berharga yang masih terpelihara sehingga ke hari ini ialah Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dianggarkan berusia 68 tahun.

Orang ramai boleh melihat sendiri Bendera Pertama Persekutuan Tanah Melayu yang dipamerkan di Muzium Negara.

Menurut Kurator Muzium Negara, Raja Suriaty Raja Ahmed, bendera berkenaan mengandungi enam jalur merah dan lima jalur putih serta bintang pecah 11.

Ia merupakan simbolik kepada 11 negeri-negeri Melayu iaitu Johor , Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Perak,  Kedah, Perlis, Kelantan ,Terengganu, Pulau Pinang dan Melaka yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu.

“Bulan sabit pula melambangkan Islam, agama orang  Melayu. Warna kuning yang diguna bagi bulan dan bintang adalah warna diraja yang melambangkan Raja Melayu.

“Tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan setiakawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Persekutuan Tanah Melayu dengan Negara-negara Komanwel,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bendera itu telah dikibarkan buat pertama kali pada 26 Mei 1950, di Istana Selangor, kediaman Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu bagaimanapun telah diubah suai dengan menambah bilangan jalur dan pecahan bintang daripada 11 kepada 14 yang menunjukkan 14 buah negeri di Malaysia.

Bendera Malaysia telah dikibarkan secara rasminya di seluruh negara pada 16 September 1963 sebagai lambang kepada kelahiran negara Malaysia.