KUALA LUMPUR:Sektor swasta menjadi pemacu utama dalam menyumbang kepada pelaburan berteraskan inisiatif tenaga bersih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menjelaskan sektor tersebut akan menyokong segala usaha yang dilakukan kerajaan dalam merealisasikan inisiatif itu.

"Saya fikir, komitmen berterusan daripada kerajaan - seperti yang berlaku di India, Malaysia dan China ketika ini, selain tindak balas daripada pihak berkepentingan terutama sektor swasta.

"Dana besar akan hadir dari situ dan kami mengharapkan ia akan direalisasikan - hasil sokongan kerajaan dan penglibatan aktif oleh sektor swasta," katanya pada sesi dialog Davos 2021 pada Rabu.

Dialog bertemakan 'Accelerating Clean Energy Transitions' itu dianjurkan Forum Ekonomi Sedunia (WEF) secara maya susulan pandemik COVID-19.

Malah katanya kerajaan ketika ini sedang merangka pelan hala tuju 20 tahun tenaga hijau seiring aspirasi kerajaan menjayakan inisiatif itu.

"Kerajaan Malaysia amat komited untuk bergerak ke hadapan, mengadakan libat urus bersama pelbagai pihak bekepentingan sejak 10 bulan yang lalu, kami menerima komitmen yang amat besar dalam menjayakan agenda hijau ini," katanya.

Dialog yang dikendalikan Pengarah Urusan European Bank for Reconstruction and Development (EBRD), Nandita Parshad itu turut disertai panel syarikat teknologi hijau terkemuka dunia.

Antaranya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Puma Energy International, Emma FitzGerald; Pengerusi Eksekutif State Grid Corporation of China, Xin Baoan dan Pengerusi NTPC Ltd, Gurdeep Singh.