KUALA LUMPUR: Golongan ahli politik di negara ini yang tidak mempunyai gambaran serta visi yang jelas mengenai hala tuju negara, akhirnya akan terus terperangkap dengan slogan populis selain terus mengagihkan wang demi mendapat sokongan.

Bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak dalam memoirnya What’s in a Name berkata, ketidaksamaan dan perpecahan sosial dengan mudah boleh bertukar menjadi konflik sosial.

Ketidakstabilan yang berlaku sekian lama itu, tegasnya lagi, berpunca dari masalah yang beliau gelarkan sebagai raksasa berkepala tiga - politik wang; politik identiti; pemusatan kuasa melampau.

Selagi perkata itu tidak ditangani, Malaysia, tegas beliau, akan terus ketinggalan dan tidak bersedia untuk menghadapi cabaran dan peluang – Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim serta ketegangan antara China dan Amerika Syarikat.

“Dengan mudah kita akan hanyut, menjadi bahtera tanpa kemudi atau enjin yang berfungsi di atas lautan yang penuh ancaman.

“Seperti kita lihat, bukannya pemimpin politik kita tidak menyedari keperluan untuk reformasi menyeluruh, mereka sedar. Manifesto (pilihan raya) mereka sejak dua dekad lepas merupakan bukti jelas betapa mereka mampu menganalisis masalah sedia ada.

“Masalahnya mereka kurang berani dan yakin untuk mengubah sistem sedia ada. Sistem yang terdesak untuk berubah, tidak akan boleh terjadi dengan sendirinya seperti mana ‘turkeys will not vote for Christmas,” tulis Nazir.

Pengasas Ikhlas Capital itu bercakap demikian melalui memoirnya ‘What’s in a Name’ yang bakal dilancarkan pada 8 November ini.

BACA: Ada Apa Di Sebalik Nama Nazir Razak

BACA: Kisah Nazir Razak - What's in a Name

BACA: Ada apa di sebalik nama Nazir Razak ...

Nazir berkata, sejak sekian lamanya, sistem di Malaysia semakin gagal akibat pemusatan kuasa yang berlebihan dan sering menjadikan pemimpin utama itu bersikap autoritarian atau melakukan sesuatu demi kepentingan diri sendiri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, dalam usaha untuk menetap semula sistem ekonomi dan politik, semua pihak berkentingan perlu melihat dan mempelajari langkah generasi reform yang membentuk Malaysia Moden termasuk ayahnya, Allahyarham Tun Abdul Razak.

“Kita perlu melihat kembali peranan Majlis Perundingan Negara (NCC) pada Januari 1970, sebagai respons kepada krisis perkauman 1969 yang berkemungkinan ketika itu akan menjadi ancaman kepada masa depan negara.

“NCC adalah satu kejayaan kerana ia membawa kesemua parti politik (kecuali DAP yang mahu pemimpinnya dilepaskan daripada tahanan), setiap kepercayaan dan komuniti,” katanya lagi.

Nazir berkata, majlis itu membenarkan perjanjian dilakukan antara komuniti yang berbeza bagi mewujudkan langkah ke hadapan yang melibatkan semua pihak.

Itu katanya perlu dilakukan dengan pendekatan yang kreatif untuk menetap semula haluan negara.

Atas sebab itu, beliau berkata, ada keperluan untuk mewujudkan Majlis Perundingan Negara 2 (NCC) atau NCCII, yang menjadi platform untuk penyatuan, perlu ditubuhkan di bawah naungan Majlis Raja-Raja.

“Melalui majlis ini, kitab oleh memperkasakan institusi baharu yang menjadi pengadil kepada persaingan politik, menyegarkan semula projek integrasi negara, serta memperkenalkan perwakilan berkadar,” tulis Nazir lagi.