BERNIAGA menjadi sumber rezeki buat mereka, saban hari, saban minggu malah ada yang sanggup tidak bercuti demi memastikan dapur sentiasa berasap, lauk tidak dicatu.

Hidup di ibu kota, cabarannya pasti lebih besar kerana di sini, serba-serbi mahal dan kos kehidupan kadangkala menyesakkan poket dan fikiran.

Mungkin kerana hikmah pandemik, lebih 4,000 peniaga di Kuala Lumpur mendapat lesen sementara, dibenarkan berniaga di kawasan sesuai di bawah Skim Wilayah Bebas Berniaga.

Dimulakan pada 2020, skim tersebut disambung sehingga hujung tahun ini, menghadirkan bukan saja kelegaan malah kegembiraan buat peniaga di ibu kota.

BACA: Wilayah Bebas Berniaga diteruskan hingga 31 Dis - DBKL

Astro AWANI pada Jumaat melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan inisiatif Program Wilayah Bebas Berniaga (WBB) untuk Lesen Sementara KL Prihatin yang tamat pada 30 Jun akan diteruskan hingga 31 Disember ini dengan beberapa penambahbaikan diperkenalkan.

Pemegang Lesen Sementara KL Prihatin diberi tempoh mulai sekarang hingga 15 Julai ini untuk mengemukakan permohonan pembaharuan secara dalam talian melalui laman sesawang DBKL atau hadir ke Kaunter Lesen Berpusat Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan.

Ternyata, berita terbaharu itu membawa khabar gembira buat beberapa peniaga di Setapak yang ditemui Astro AWANI pada Sabtu.

BACA: Kesesakan trafik: DBKL teliti semula kebenaran Skim Wilayah Bebas Berniaga

Mereka sebenarnya tidak tahu berita tersebut, hanya mengetahuinya ketika disampaikan kepada mereka maklumat terkini itu dan sebaik mendengar khabar tersebut, terpancar kelegaan dan kegembiraan di wajah mereka.

Peniaga minuman, Suraya Nor Shamsudin atau mesra disapa Kak Su pernah melalui pelbagai rintangan ketika berniaga, termasuk barangnya dirampas namun inisiatif daripada DBKL itu membuatkannya tersenyum lebar.

“Alhamdulillah sangat-sangat. Duk fikir juga, lepas ini berniaga di mana, ini dah dengar macam ini, alhamdulillah, boleh berniaga dengan aman.

“Seronok sangat-sangat, alhamdulillah, boleh berniaga lagi, takut jugalah kan, bandaraya (DBKL), dia jalankan tugas saja,” katanya.

DBKL | Wilayah Bebas Berniaga diteruskan hingga 31 Disember

Keseronokan, kelegaan, kegembiraan sama turut diluahkan ‘jiran’ Kak Su, Hirliyana Halim yang sudah tujuh tahun berniaga di tapak sama.

“Alhamdulillah. Kita nak cari tempat lain pun dah tiada tempat,sini dah lama, tujuh tahun berniaga sini, ini pun Tan Sri Annuar Musa (bekas Menteri Wilayah Persekutuan) bagi lesen.

“Alhamdulillah, terima kasih banyak. Seronok, lega dapat khabar hari ini, lega sangat,” ujarnya.

Bukan hanya mereka berdua, beberapa peniaga lain di sana turut senada dengan mereka malah mungkin ribuan peniaga di bawah skim itu juga berkongsi rasa yang sama.

“Alhamdulillah, itu yang kita nak. Dah lama tunggu kan, rasa selesa sikit berniaga, tiada fikir apa kan. Kita dah biasa, selesa di sini, Kalua nak cari-cari pun, tempat baru tiada orang.

“Nak angkat barang lagi, ini pun kebetulan dekat kan. Jadi senanglah, di sinilah selesa,” kata peniaga minuman, Wan Nur Annis Abdul Rahman.

Ekonomi | Tempoh lesen percuma dilanjutkan

Peniaga maknan, Nadia Katip pula berkata: “Alhamdulillah. Selama PKP, berniaga sini memang seronoklah. Sebelum ini saya berniaga pasar malam, macam sibuk sikitlah.

“Bila berniaga sini, rumah pun dekat. Seronok bila dapat disambungkan lagi, Alhamdulillah," katanya.

Adakah skim tersebut akan disambung lagi pada tahun depan?

Sejujurnya, mereka tidak tahu jawapannya namun buat masa ini, mereka meraikan khabar gembira itu, sekurang-kurangnya sampai ke penghujung tahun ini.