SHAH ALAM: Gedung perniagaan tekstil Jakel cawangan Shah Alam di Seksyen 7 di sini terbakar lagi dalam kejadian awal pagi ini.

Kebakaran di bangunan Wisma Jakel itu melibatkan satu bilik simpanan kain langsir berkeluasan 30x40 kaki persegi di tingkat tiga.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 12.40 tengah malam tadi.

Seramai 43 pegawai dan anggota dari enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

Api berjaya dikawal daripada merebak pada jam 1.45 pagi sebelum kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.07 pagi.

Foto JBPM Selangor

Foto JBPM Selangor

Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa.

Menurut Norazam, kerja-kerja 'overhaul' turut dilakukan pihaknya untuk memastikan api padam sepenuhnya.

Foto Astro AWANI

Foto Astro AWANI

Pada Ahad, premis sama dilaporkan terbakar 80 peratus, dipercayai akibat litar pintas, memusnahkan bahagian dalam bangunan.

Semalam, susulan pelbagai spekulasi yang timbul, polis menasihatkan orang ramai agar menghormati pihak yang mengalami kerugian serta yang hilang sumber pendapatan dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati.