PUTRAJAYA: Kementerian Luar (Wisma Putra) mewujudkan enam kumpulan pakar bidang untuk memperkasa kemampuan diplomatik dan menasihati kerajaan dengan lebih berkesan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata bidang berkenaan ialah perubahan iklim, teknologi, arkitektur antarabangsa, maritim, penghakupayaan wanita dan pelucutan senjata.

Beliau berkata ketua-ketua bidang sudah dilantik, manakala ahli-ahlinya antara lima hingga tujuh orang akan dipilih dalam kalangan warga kementerian serta profesional luar seperti masyarakat sivil dan ahli akademik.

"Tugasan di Kementerian Luar ini semakin mencabar kerana banyak sebab termasuklah cabaran daripada perlakuan dan tabiat kuasa-kuasa besar dan perkembangan semasa seperti perubahan iklim dan kemajuan teknologi," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Luar, di sini hari ini.

Majlis itu meraikan 111 orang penjawat awam yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2021 dan 30 orang lagi yang bersara wajib antara bulan Oktober 2021 hingga Ogos 2022.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kumpulan-kumpulan itu juga diharap dapat mewujudkan budaya baharu dalam kalangan warga Wisma Putra untuk berlumba-lumba menjadi pakar dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata ketua-ketua perwakilan Malaysia juga diharapkan menjadi pakar bidang tentang negara dan rantau tempat mereka berkhidmat.

Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin menyeru warga Wisma Putra membaca tabiat dan perlakuan kuasa-kuasa besar serta perkembangan utama semasa dengan kefahaman yang tinggi dan berhati-hati supaya tidak terpedaya dan melaksanakan rundingan dengan teliti.

"Memanglah keterlibatan dalam rundingan tertentu atau menyertai kumpulan dan perjanjian tertentu menjanjikan keuntungan, namun perlu diingat, usahlah untung secupak rugi segantang, untungnya nampak ruginya di belakang.

-- BERNAMA