KUALA LUMPUR: World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis menerima sumbangan buah-buahan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui inisiatif bantuan MAFI Prihatin untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega WTCKL.

Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata program tersebut bagi membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik COVID-19, selain menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan.

"Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razali atas kesudian mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin Mega AstraZeneca di WTCKL. 

"Pada masa yang sama, beliau sudah lengkap menerima suntikan vaksin AstraZeneca di sini.

"FAMA turut memberi sumbangan buah-buahan tempatan serta juadah minum petang kepada petugas dan sukarelawan di PPV Mega AstraZeneca WTCKL di bawah Program MAFI Prihatin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Juadah minum petang turut diberikan petugas dan sukarelawan di PPV Mega AstraZeneca WTCKL

Mengulas lanjut, selaku Ahli Majlis Penasihat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Irmohizam berkata pihaknya turut berpeluang mengadakan perbincangan dan berkongsi pendapat dalam memastikan produk pertanian dan industri makanan negara dapat memacu pemasaran domestik dan antarabangsa.

"Saya berharap agar sebuah kerjasama dapat dibentuk dan mengeratkan hubungan antara WTCKL, Persatuan Pusat Perdagangan Dunia (WTCA) dan FAMA dalam sektor pemasaran produk agromakanan, industri makanan dan asas tani," tambah beliau.