KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) akan kembali beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bagi dos penggalak AstraZeneca (AZ) bermula 15 Januari ini sehingga 15 Mac depan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi WTCKL, Fauzy Wahab, pembukaan semula itu dibuat selaras dengan visi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin dos ketiga.

Waktu operasi PPV Mega itu akan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 9 malam sepanjang dua bulan itu.

"Sebanyak 9,000 dos vaksin AstraZeneca akan disediakan di sini untuk orang ramai setiap hari.

"Terdapat tiga penganjur penjagaan kesihatan (HCO) yang terlibat dalam program vaksinasi mega sini iaitu BookDoc, BP Healthcare dan U.N.I Klinik,” kata Fauzy dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, pemberian dos penggalak AstraZeneca itu hanya akan diberikan kepada mereka yang menerima temu janji vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera atau khidmat pesanan ringkas (SMS) sahaja.

Sementara, pemberian secara walk-in tidak lagi dibenarkan.

Tambah Fauzy, penerima vaksin dinasihatkan membawa pen sendiri untuk mengisi borang kebenaran sebagai usaha bersama untuk meminimumkan sentuhan fizikal.

"Laluan Khas turut disediakan di PPV WTCKL untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

"Kita juga menyediakan 'Calm Room' untuk penghidap Gangguan Spektrum Autisme, Kecelaruan Keresahan (Anxiety Disorder) dan Serangan Panik (Panic Attack) serta bilik perubatan khas untuk sebarang kes kecemasan di PPV Mega WTCKL," ujar beliau lagi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang isu juga katanya boleh terus berhubung dengan petugas di kaunter Helpdesk yang disediakan.

Selain itu, tambah Fauzy, KKM juga bercadang untuk membuka pusat panggilan di PPV Mega WTCKL bagi menjawab sebarang pertanyaan berkaitan vaksin, namun, perkara itu belum diputuskan oleh kementerian.

Sementara itu, jelas Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, pihanya sentiasa bersedia dalam membantu kerajaan serta masyarakat mendapatkan vaksin penggalak.

Malah sebelum ini, kata beliau, seramai 645,000 orang telah menerima 1.3 juta dos vaksin di WTCKL sejak dibuka sebagai PPV Mega.

"Pewujudan semula WTCKL sebagai PPV Mega adalah salah satu cara kami menyumbang semula kepada rakyat dan negara.

"Sebagai sebuah pusat konvensyen yang sangat konsisten dan berdedikasi untuk menyumbang semula kepada komuniti, kami sangat komited menawarkan standard perkhidmatan tertinggi dalam usaha untuk melawan penularan wabak COVID-19.

"Sebelum ini, WTCKL telah berjaya berkhidmat sebagai salah satu PPV Mega semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada Mei hingga Oktober 2021," katanya lagi.

Meskipun kali ini hanya menampung 9,000 dos setiap hari, jelas Irmohizam, namunm pusat konvensyen itu boleh menampung sehingga 18,000 penerima setiap hari seperti sebelum ini.

"Malah, kami sentiasa bersedia untuk meningkatkan kapasiti yang lebih besar dari ini sekiranya kerajaan mahu berbuat demikian," tambah Irmohizam lagi.