JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah hari ini bertitah agar kerajaan melihat kepada kemungkinan mewujudkan sebuah jabatan khas untuk menangani isu kanak-kanak termasuk penderaan dan buli di sekolah.

Baginda bertitah Akta Kanak-Kanak juga perlu diperkukuh supaya tindakan lebih proaktif dan agresif boleh diambil.

Titah baginda peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu diperkemas untuk perkhidmatan yang lebih berkesan, memandangkan jabatan itu pada masa kini amat terbeban dengan aduan keluarga yang memerlukan bantuan termasuk ketika bencana seperti banjir atau kebakaran rumah.

"Mungkin sebuah jabatan kerajaan khas boleh ditubuhkan khusus untuk menangani isu kanak-kanak termasuk penderaan dan buli di sekolah," titah baginda pada pertemuan dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan di Istana Polo, Pasir Pelangi, di sini hari ini, yang dimuat naik di Facebook rasmi The Royal Johor.

Pada pertemuan itu, Permaisuri Johor turut menzahirkan harapan agar semua pihak berkaitan mengambil langkah untuk menambah baik sistem perlindungan kanak-kanak.

Dalam masa yang sama, Raja Zarith Sofiah turut terkenang kes membabitkan kekejaman terhadap kanak-kanak seperti Allahyarham Nurul Huda Abdul Ghani pada 2004 dan Allahyarham Nurul Nadirah Abdullah (Dirang) pada 2012.

"Kes Allahyarham Lokman ini (kanak-kanak berusia empat tahun yang meninggal dunia akibat didera) mengingatkan saya kepada kepiluan dan kesedihan tragedi lepas.

"Di manakah kelemahan dalam sistem kita sehingga penderaan yang begitu dahsyat seperti kes Allahyarham Lokman boleh berlaku? Mungkin ada pelbagai faktor, di sinilah peranan yang perlu dimainkan oleh pihak berkuasa bagi memperbaiki situasi ini," titah Permaisuri Johor.

Baginda bertitah mungkin ramai dalam kalangan rakyat yang masih tidak menyedari saluran sepatutnya mereka gunakan dalam kes melibatkan kanak-kanak.

Lokman meninggal dunia pada 26 Dis selepas empat hari dirawat di Hospital Sultan Ismail, dipercayai akibat didera ketika dijaga kakak kandungnya kerana kedua ibu bapa mereka menjalani hukuman penjara akibat kesalahan dadah.

-- BERNAMA