Jawatankuasa Kabinet Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) perlu diwujudkan untuk memastikan koordinasi antara perlaksanaan dan penguatkuasaan cukai itu antara kementerian dan agensi secara bersepadu dapat digerakkan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, ia perlu untuk menangkis persepsi rakyat yang menyatakan seakan-akan wujud ketidakseragaman perlaksanaan serta kaedah penguatkuasaan cukai berkenaan.

"Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) antara agensi yang wajar dipertimbangkan untuk menganggotainya.

"Contoh paling jelas adalah kurang sefahaman dalam kaedah penguatkuasaan GST di antara SKMM dan Jabatan Kastam dalam isu kad prabayar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Harga kad prabayar: SKMM mahu dengar pengguna atau telco? - Ibdillah

BACA: Mustahil untuk kekal harga kad prabayar seperti sebelum GST pada 1 Mei - SKMM

BACA: Harga kupon tambah nilai prabayar kembali ke asal bulan depan - Ahmad Maslan


Sebelum ini, Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie menjelaskan harga isian semula prabayar kekal dikenakan GST ke atas harga isian semula.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata harga kad prabayar kekal kepada harga asal bermula 1 Mei.

Irmohizam yang juga Presiden Majlis Belia Selangor menegaskan, ramai generasi muda menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) serta mesej melalui aplikasi WhatsApp dan memaklumkan ketidakpuasan hati dalam isu kad prabayar.

"Kenyataan SKMM yang tidak selari dengan kementerian berkenaan dengan kehendak rakyat dan anak muda mengenai isu kad prabayar menyedihkan.

"SKMM seakan-akan mempermainkan emosi mereka kepada kerajaan. Sepatutnya sebarang kenyataan berkaitan perlu difikirkan dan dibincangkan dengan beberapa pihak sebelum dikeluarkan.

"Jika tersalah, ia pasti menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan. Sepatutnya agensi-agensi berkenaan perlu bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendengar denyut nadi rakyat bagi mewujudkan kepuasan rakyat apabila GST diluluskan," katanya.

Jelasnya lagi, GST tidak seharusnya menjadi bahan polemik dan jenaka rakyat kepada kerajaan.

"Akta GST yang diluluskan harus menjadi dokumen penting sebagai landasan atas kejayaan dasar cukai yang diperkenalkan," ujarnya.

BACA: Ribuan sertai perarakan #BatalGST 1 Mei

BACA: Kad prabayar: Hanya Shabery boleh buat pengumuman - Najib

Katanya lagi, Jawatankuasa Pemantau GST juga perlu diwujudkan dan diketuai badan bebas bagi melihat sebarang kelemahan atau penambahbaikan mengenai cukai berkenaan.

"Ia mungkin boleh diketuai oleh badan bebas bagi melihat sebarang kelemahan atau penambahbaik dari segi khidmat pelanggan dan aduan supaya rakyat boleh menyalurkan maklumat dengan lebih mudah," jelasnya.