KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mencadangkan supaya sebuah Suruhanjaya Bebas Antirasuah ditubuhkan sebagai sebuah suruhanjaya berperlembagaan.

Cadangan itu berikutan kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang jatuh lima tangga dari kedudukan ke-57 pada 2020 ke kedudukan ke-62 pada 2021.

IDEAS dalam satu kenyataan mengaitkan beberapa faktor di sebalik kemerosotan itu, termasuk kekurangan iltizam politik dalam kalangan agensi kerajaan, organisasi dan individu berpengaruh untuk menentang rasuah.

“Satu contoh jelas adalah penyiasatan tidak lengkap dan pembebasan secara tergesa-gesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki,” menurut kenyataan itu.

“Satu lagi isu adalah kekurangan pembaharuan berkaitan SPRM sejak tahun 2015. Perkara ini perlu diberi perhatian yang jelas atau pemarkahan CPI Malaysia akan terus merosot pada masa hadapan,”, ujar Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh.

Tambah Tricia, salah satu faktor mungkin berpunca daripada lantikan politik ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertambah sejak kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih pemerintahan.

Selain itu, IDEAS juga berpandangan bahawa Pelan Antirasuah Kebangsaan (NACP) masih belum dikuatkuasakan secara sepenuhnya, selain gejala rasuah dalam rantaian bekalan Malaysia serta isu pendanaan politik yang tidak terkawal.

“Kita perlu mempertimbangkan bahawa birokrasi dan institusi kerajaan yang tidak diuruskan dengan baik juga menyumbang kepada kemerosotan ini.

“Kajian kami terhadap rasuah dalam rantaian bekalan Malaysia mendedahkan betapa berakar umbinya rasuah apabila penjawat awam sering kali mengambil kesempatan menyalahgunakan kuasa mereka atas kekurangan pengetahuan umum terhadap peranan dan tanggungjawab yang hadir bersama kedudukan mereka,” kata Tricia.

Justeru, IDEAS mencadangkan tiga penyelesaian bagi menambah baik kedudukan negara dalam indeks berkenaan.

“Langkah perlu diambil terhadap saranan pembaharuan berkenaan SPRM pada tahun 2015, termasuk mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Antirasuah (IACC) sebagai sebuah suruhanjaya berperlembagaan; pindaan terhadap Akta SPRM 2009 (Seksyen 23 - Salah laku Penjawat Awam) (Seksyen 36 - Liabiliti Korporat); dan pembaharuan undang-undang lain termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.”

BACA: Indeks Persepsi Rasuah: Malaysia jatuh lagi, kali ini dari 57 ke tangga 62 pada 2021

BACA: SPRM seru kerjasama semua pihak tingkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah

Pada masa yang sama, IDEAS turut menyarankan agar pencapaian sebenar dalam NACP dilaporkan secara telus kepada umum serta Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bertindak berdasarkan mandatnya bagi memudahkan dan memantau integriti dalam institusi awam.

“Dalam jangka masa pendek, hal ini akan memberi kesan negatif kepada usaha pemulihan pasca-COVID-19 dan pascabanjir Malaysia.

“Dalam jangka masa panjang, ia akan menghakis keyakinan dan kepercayaan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia serta merendahkan keyakinan awam terhadap kerajaan dan institusi awam,” kata Tricia lagi.

Pada Selasa, Malaysia dilaporkan mencatat skor 48 dalam CPI 2021 berbanding skor sebanyak 51 peratus pada tahun sebelumnya.

Skor dicatatkan Malaysia itu menjadikan buat pertama kalinya sejak 2012, negara kini dikelompokkan dalam dua pertiga negara dengan skor di bawah 50 daripada 100.