KUALA LUMPUR:Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan hampir RM200,000 sehingga bulan November ini untuk sumbangan membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Menurut Pemangku Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Mohd Fauzi Md Fadzil, sumbangan itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

"Terbaharu, kita prihatin dengan nasib yang menimpa Nur A'afiyah Muhammad Hassan dan tampil menghulurkan bantuan berupa bekalan barangan perubatan untuk meringankan bebanan yang dihadapi oleh keluarganya.

"Nur A'afiyah yang tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Sungai Penchala menghidapi komplikasi kesihatan sejak lahir terpaksa menggunakan 'stoma beg' untuk membuang air besar serta memerlukan susu khas untuk meneruskan kehidupan.

"Kita terpanggil untuk membantu Nur A'afiyah selepas menerima permohonan bantuan daripada Muhammad Hassan kepada Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin," katanya dalam satu kenyatan di sini, pada Ahad.

Muhammad Hassan merupakan seorang pemandu van dan ibunya seorang suri rumah, turut terkesan dengan kekangan perbelanjaan dan kekurangan pendapatan disebabkan impak dari pandemik COVID-19 yang melanda negara kini.

Dalam pada itu kata Mohd Fauzi, bantuan 'stoma beg' bernilai RM3,289 diharapkan dapat membantu mengurangkan bebanan yang kini ditanggung oleh keluarga adik NurA'afiyah.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Pengurus Jabatan Perhubungan Komuniti dan Penjenamaan Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Orang ramai yang ingin menghulur bantuan kepada Nur A’afiyah boleh menghubungi Muhammad Hassan Kamil di talian 018-2406884 atau sumbangan menerusi akaun Maybank 165125108616.