MARAN: Sejumlah RM1.34 bilion dibelanjakan kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang (YP) dengan 1.7 juta anak Pahang menerima manfaat menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif melibatkan sektor pendidikan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada tahun lalu, sejumlah RM52 juta dibelanjakan bagi bantuan pendidikan untuk 61,721 pelajar.

"Daripada jumlah itu, RM18.8 juta disalurkan menerusi Biasiswa Sekolah Menengah melibatkan 31,751 penerima dan RM6.3 juta bagi Biasiswa Sekolah Rendah membabitkan 21,002 penerima.

"Selain itu, RM3.6 juta diperuntuk bagi tujuan Program Peningkatan Kualiti Pendidikan.

"Manakala untuk tahun ini pula, kita memperuntukkan sejumlah RM91.4 juta bagi tabung pendidikan, memberi manfaat kepada 255,951 pelajar di negeri ini terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan latar belakang," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang kali ke-51 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan anugerah Kategori Kepimpinan Pendidikan Peringkat Negeri Pahang kepada Datuk Zaimi Abu Bakar dan Penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat Negeri Pahang bagi tahun 2022 kepada  Datin Seri Datuk Fatimah Kassim.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, kerajaan negeri juga sentiasa berusaha meningkatkan infrastruktur pendidikan seperti keupayaan capaian internet dan baik pulih bangunan sekolah serta lain-lain lagi.

"Kerajaan negeri turut meneruskan bantuan peranti digital dan pencetak kepada pelajar-pelajar dari kumpulan B40 yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dengan memperuntuk sebanyak 1,500 buah peranti digital kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta penghuni di empat institusi kanak-kanak di bawah seliaan JKM dengan kos sebanyak RM2.2 juta," katanya lagi.