GERIK: Tindakan pantas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap dua gajah liar yang tersesat di Kampung Padang di sini pada Jumaat lalu.

Gajah betina dan gajah jantan itu diselamatkan dalam tempoh 24 jam selepas dikesan berada di kawasan ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 500 meter daripada rumah penduduk.

Operasi menyelamat dan translokasi dua gajah liar berkenaan dijalankan pada Selasa dengan bantuan gajah denak, Indah dan Suria dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Terengganu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, operasi selama empat jam itu melibatkan 20 kakitangan termasuk Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perak dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.

"Gajah betina seberat dua tan berusia lingkungan 23 tahun dan gajah jantan 1.8 tan berusia 19 tahun itu dipercayai terpisah dari kumpulannya serta tersesat dari Hutan Simpan Gerik berhampiran.

"Kedua-dua mamalia ini dikesan pada Khamis dan ditangkap pada pagi Jumaat. Setakat ini, kami menerima aduan kerosakan pagar di Sekolah Menengah Kebangsaan Gerik," katanya di sini.

Menurutnya, gajah yang diberi nama Yong Ana dan Yop Padang itu akan dilepaskan ke habitat asalnya di Hutan Simpan Royal Belum.

Sementara itu, penduduk, S Kalaiselvi, 49, berasa teruja dapat melihat gajah berkenaan secara dekat selepas beberapa kali mendengar haiwan itu bertempik dari hutan berhampiran.

Dia yang juga suri rumah turut berasa lega apabila Perhilitan berjaya menangkap gajah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya di Taman Temenggor di sini.

"Saya tidak percaya ada gajah kerana 10 tahun pernah bekerja di ladang ini, sekali pun tidak pernah dengar bunyi atau ternampak haiwan ini. Risau juga sebab dekat dengan rumah.

"Seawal jam 9 pagi, saya bersama empat ahli keluarga datang untuk melihat sendiri gajah-gajah ini. Biasanya kita jumpa gajah di tepi Jalan Gerik-Jeli atau zoo sahaja," katanya. - Sinar Harian