LENGGONG: Gajah liar yang diberi nama Yong Chepor berjaya dipindahkan ke habitat asal di Hutan Simpan Royal Belum dalam operasi yang dijalankan di Kampung Chepor, dekat sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, operasi itu dilakukan dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.

Menurutnya, pemindahan gajah betina yang berusia antara 26-27 tahun itu dibantu dua ekor denak, Alam dan Rambai.

Katanya, gajah liar seberat 3.8 tan itu ditangkap pada 16 April lalu selepas mendapat aduan daripada penduduk kampung.

“Aduan mula kita terima sejak 8 April, ia rosakkan getah dan sawit penduduk Felda Chepor dan Kampung Chepor,” katanya di sini.

Menurut beliau, pihaknya percaya gajah itu dari satu kumpulan di Hutan Simpan Piah yang dianggarkan bergerak dalam kawanan 10 ekor.