Zafrul dapatkan nasihat undang-undang mohon fail afidavit, betulkan kesilapan fakta

Irwan Muhammad Zain
April 17, 2024 09:25 MYT
Dalam satu kenyataan, Tengku Zafrul memaklumkan beliau telah mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berhubung afidavit Ahmad Zahid itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavitnya untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit tambahan yang diikrarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu kenyataan, Tengku Zafrul memaklumkan beliau telah mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berhubung afidavit Ahmad Zahid itu.
"Pendirian saya bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung.
"Saya hanya ingin memastikan bahawa fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi, dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Saya ingin menyatakan secara rasmi bahawa pada hari ini saya telah melihat Afidavit Tambahan No. 3 yang diikrarkan oleh YAB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Bin Hamidi pada 9 April 2024 dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Hj Abd Razak di pic.twitter.com/Qmvjc7rsLn

— Tengku Zafrul (@tzafrul_aziz) April 17, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tengku Zafrul menegaskan tindakan yang dibuat itu bagi membolehkan keputusan yang adil dan saksama dibuat demi kepentingan semua pihak yang terlibat.
Beliau juga menjelaskan nasihat undang-undang itu dibuat selepas melihat Afidavit Tambahan No. 3 yang diikrarkan oleh Zahid pada Rabu dalam prosiding undang-undang yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Awal hari ini, Ahmad Zahid, yang juga merupakan Presiden UMNO mendakwa, beliau diberitahu mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah oleh Tengku Zafrul.
Menurut Ahmad Zahid, Tengku Zafrul menunjukkan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
#Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #afidavit #Najib Razak #Zahid Hamidi