Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan polis Pulau Pinang memerangi habis-habisan kegiatan perjudian yang disifatkannya sebagai semakin serius di negeri itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mahu mereka yang terlibat dalam kegiatan itu terutama dalangnya ditangkap dan didakwa di mahkamah.

"Mulai hari ini, saya arahkan ketua polis negeri (banteras judi). Saya tidak mahu lagi ada laporan 'kingpin' (dalang) terdiri daripada tauke besar (ada) di Pulau Pinang.

"Jangan khuatir, jangan takut. Kami di Bukit Aman, KDN (Kementerian Dalam Negeri) akan berada di belakang polis (Pulau Pinang) untuk beri sokongan kuat (hapuskan judi)," katanya berucap pada Program Penerapan Nilai-nilai Murni Ramadan Kementerian Dalam Negeri di Masjid Daerah Barat Daya di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis negeri Datuk Chuah Ghee Lye serta pegawai-pegawai kanan Bukit Aman dan kontinjen negeri.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Ahmad Zahid berkata jika kegiatan judi tidak dihapuskan sepenuhnya, beliau khuatir ada sindiket yang akan menggunakan hasil kegiatan mereka untuk membiayai parti-parti politik, terutama semasa pilihan raya umum.

"Ini bukan tuduhan, cuma dikhuatiri (berlaku pembiayaan parti politik)," katanya.

Selain itu katanya beliau juga tidak mahu masyarakat di Pulau Pinang menjadi mangsa berikutan perjudian merupakan masalah paling tinggi di negeri tersebut.

"Saya bersimpati dengan mereka yang menjadi mangsa judi," katanya.

Sehubungan itu Ahmad Zahid mahu usaha membanteras kegiatan jenayah terutama perjudian dijadikan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) polis kontinjen Pulau Pinang.

"Setakat ini saya puas hati dengan kerja Datuk Chuah kerana jenayah indeks turun," katanya.

Menyentuh mengenai politik negeri itu, Naib Presiden UMNO berkenaan berharap satu perubahan besar berlaku pada masa depan.

" ...sesuatu yang drastik boleh berlaku jika kita bekerja lebih kuat," katanya.

-- BERNAMA