KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pindaan yang dibuat pihak pendakwaan terhadapnya.

Mengikut pindaan pertuduhan ke-27 itu, Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram  membabitkan 35 keping cek berjumlah RM7,511,250.

Sebelum ini dia dituduh melakukan kesalahan itu membabitkan 30 keping cek berjumlah RM6,885,300.

Ahmad Zahid, 68, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

“Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya. Terima kasih. (Saya) Tidak mengaku (salah),” katanya.

Mengikut pindaan pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram iaitu dengan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi melibatkan hasil aktiviti haram dengan cara mengarahkan pengurup wang, Omar Ali Abdullah untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250 kepada 35 keping cek.

BACA: Omar Ali tak lapor Bank Negara, Zahid Hamidi arah tukar RM7.5 juta kepada cek

BACA: Kes Rasuah Zahid Hamidi: Saksi pelik proses pembelian dua banglo bernilai RM5.9 juta

Kesemua cek tersebut kemudiannya diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co bagi tujuan pembelian Simpanan Tetap di Malayan Banking yang mana merupakan hasil aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Marhaba Enterprise, Jalan Bukit Bintang diantara 29 Mac 2016 dan 15 Julai 2016 yang didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (akta 613) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Kes Rasuah | Zahid mengaku tidak bersalah atas tuduhan pindaan


BACA: Kronologi kes rasuah Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi

Perbicaraan hari ke 49 hari ini bersambung dengan saksi ke-95 dan 96 memberi keterangan.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.