KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau menamakan dirinya sebagai calon Perdana Menteri seperti dakwaan sesetengah pihak.

Dalam satu kenyataan, Zahid menjelaskan UMNO akan mencadangkan beberapa nama untuk mengetuai sebuah kerajaan baharu yang akan dibentuk susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Zahid juga mencadangkan agar sebuah kerajaan yang stabil untuk satu tempoh yang munasabah dan memberi perhatian kepada usaha melawan pandemik COVID-19 ditubuhkan.

"Bagi tujuan ini, sebuah Kabinet yang efektif mirip seperti ‘War Cabinet’ yang hanya memfokuskan proses pemulihan negara mendepani pandemik hendaklah dibentuk.

"Setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, maka kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat.

"Bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan.

"Menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Agong perkenan peletakan jawatan Muhyiddin, lantik beliau PM 'caretaker'

BACA: '15 Ahli Parlimen UMNO tarik sokongan, saya telah hilang majoriti' - Muhyiddin


Zahid turut mengakui kecewa apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan terhadapnya sepanjang kemelut politik yang berlaku ini.

Beliau juga menyeru ahli dan pemimpin UMNO di semua peringkat untuk menegepikan segala perbezaan dan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini.


Curahan Hati | Muhyiddin akhiri perjalanan di Perdana Putra

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong ketika menghadap baginda di Istana Negara pada Isnin.

Tindakan itu diambil selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau yang juga Presiden Bersatu dilantik sebagai Perdana Menteri pada 29 Februari 2020 ekoran krisis politik selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan.