KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu sekali lagi dipilih menjadi Presiden UMNO dan mengulangi kecemerlangannya mengemudi parti sebelum ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kuala Selangor, Aemierulrizaki Rambli berkata, Najib dilihat ikon yang dapat menyusun kembali parti sekali gus menjadikannya kuat dan membuka peluang Barisan Nasional (BN) kembali menerajui negara.

"Tidak ada calon lain dalam kalangan pemimpin UMNO yang layak menjadi Presiden apatah lagi untuk memimpin negara melainkan Najib.

"Walaupun beliau terpalit pelbagai isu dan fitnah, namun setiap isu tersebut belum lagi dibuktikan Najib bersalah.

"Saya lebih suka melihat kepada kredibiti dan kepimpinan, kebolehan dan akal yang cerdik untuk memimpin. Jadi pada pandangan saya lebih memilih Najib untuk kembali memimpin UMNO," katanya semasa dihubungi pada Khamis.

BACA: UMNO dijangka tangguh pemilihan parti

BACA: 
Annuar Musa dakwa surat Zahid kepada Muhyiddin pramatang

Kaji selidik Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura, UUM (UUM-ITS) sebelum ini mendedahkan, Najib masih mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan rakyat negara ini dengan responden berpandangan berdasarkan prestasinya dan merindui pemerintahan bekas Perdana Menteri itu yang banyak membantu rakyat selain memperjuangkan isu-isu rakyat ketika ini.

Menerusi kaji selidik itu, Najib memperoleh sokongan 51.5 peratus jauh meninggalkan pemimpin lain seperti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (14.8 peratus); Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (10.2 peratus) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar 9.6 peratus.

Dalam pada itu kata Aemierulrizaki, Presiden UMNO kini, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mampu mengawal ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) atau pemimpin-pemimpin UMNO membuat 'kacau' dalam parti.

"Maka sebab itu UMNO berpecah-belah apabila setiap orang boleh bercakap sesuka hati dan secara terbuka di media tanpa melalui Presiden.

"Di situ kita sudah tahu Presiden tidak ada kekuatan langsung untuk mengawal pemimpin di bawahnya," ujarnya.

Sebelum ini, ada laporan UMNO dijangka menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan akan diadakan tahun ini.

Laporan yang memetik sumber itu memaklumkan penangguhan itu dicadangkan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum yang dijangka diadakan selepas tamat tempoh darurat pada 1 Ogos nanti.

Pemilihan UMNO perlu diadakan setiap tiga tahun dengan kali terakhir UMNO mengadakan pemilihan ialah pada 30 Jun 2018. Tempoh matang kepimpinan UMNO sekarang akan tamat pada 30 Jun 2021.

Sekiranya tiada penangguhan, proses pemilihan perlu dilakukan sebelum Julai 2021.