KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang antara empat rakyat Malaysia yang menerima anugerah berprestij Jepun sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam mengukuhkan hubungan dua hala menerusi sektor tenaga, alam sekitar, air dan pengajian tinggi.

Kedutaan Jepun di Malaysia memaklumkan Dr Zaini menerima anugerah berprestij Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star kerana memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala menerusi sektor tenaga, alam sekitar dan air serta mempromosikan projek berkaitan penambahbaikan terhadap air tidak terhasil serta pembinaan loji rawatan kumbahan.

"Datuk Seri Ir Dr Zaini turut menyumbang dalam bidang akademik serta pertukaran peribadi antara Malaysia dan Jepun melalui penglibatannya dalam penubuhan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT)," menurut kedutaan itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd Isa menerima anugerah berprestij Jepun yang sama atas sumbangannya dalam mengukuhkan hubungan dua hala serta mempromosikan persahabatan antara Jepun dan Malaysia.

Rastam, yang berkhidmat sebagai setiausaha agung dari 2006 hingga 2011, berperanan penting dalam mengembangkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara melalui pertukaran nota rasmi "Perjanjian Kerjasama Ekonomi Jepun-Malaysia."

"Pada 2007, Tan Sri Rastam mengatur sidang kemuncak dua hala ketika lawatan perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi ke Jepun sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Jepun-Malaysia.

"Kerajaan Malaysia menerima kunjungan rasmi pertama Perdana Menteri Jepun (ketika itu) Shinzo Abe yang dianjurkan Tan Sri Rastam, dan mengeluarkan kenyataan bersama mengenai "Persahabatan Abadi dan Perkongsian Jauh: Ke Arah Masa Depan Bersama," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Silverlake Axis Ltd juga Penaung Kehormat Persatuan Graduan Malaysia (JAGAM), Goh Peng Ooi telah dianugerahkan The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Rosette kerana menambah baik syarikat digital Jepun dengan menjalin usaha sama Jepun-Malaysia di Malaysia serta menyediakan sistem maklumat yang inovatif bagi perniagaan runcit.

Selain itu, sepanjang bergelar pelajar Malaysia pertama yang ditaja Kerajaan Jepun dan belajar di Universiti Tokyo, beliau telah menubuhkan Persatuan Pelajar Antarabangsa Malaysia (MSAJ) dan membantu pelajar Malaysia yang tinggal di Jepun.

Goh telah memainkan peranan penting selama 40 tahun dengan menyediakan sokongan kewangan dan memberi khidmat nasihat yang berkesan kepada ahli eksekutif JAGAM.

Seterusnya, bekas pekerja tempatan Kedutaan Jepun di Malaysia, Roslaile Abdul Hamed, dianugerahkan The Order of the Sacred Treasure, Silver Rays atas sumbangannya dalam meningkatkan hubungan ekonomi Jepun-Malaysia dengan memudahkan hubungan peribadi antara diplomat Jepun dan pegawai kerajaan serta ahli perniagaan di Malaysia.

-- BERNAMA