Zaleha Hamid, Mat Sentol antara penggiat seni terima bantuan PRE Ihsan Johor 3.0

Bernama
Julai 26, 2021 09:44 MYT
Datuk Hasni Mohammad (tengah) bertanya khabar Zaleha Hamid semasa menyampaikan cek Bantuan Insentif One-Off RM500 di kediaman penyanyi itu di Taman Uda Utama semalam. Gambar BERNAMA
JOHOR BAHRU: Penyanyi veteran, Zaleha Hamid dan pelawak serta pelakon, Abdul Rashid Yahya atau lebih dikenali sebagai Mat Sentol, adalah antara 958 penggiat seni di Johor yang menerima bantuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, yang diumumkan baru-baru ini.
Ahli keluarga kedua-dua mereka menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih ketika dikunjungi Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di kediaman masing-masing, semalam.
Zaleha yang nama sebenarnya Siti Zaleha Abdul Hamid, 63, terlantar akibat strok sejak 2019 dan dijaga suaminya Ungku Sulaiman Ungku Aziz.
"Sejak isteri mengalami strok, saya menjaganya sepenuh masa dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain wang pemberian anak.
"Kami sangat bersyukur dengan bantuan wang tunai dan barangan makanan ini, (sedikit sebanyak) dapat meringankan beban kami sekeluarga," kata Ungku Sulaiman dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mat Sentol turut memuji inisiatif kerajaan negeri dalam menyampaikan bantuan kepada penggiat seni di negeri ini termasuk mereka yang sudah tidak aktif lagi dalam bidang berkenaan.
"Terima kasih kepada Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri yang tidak melupakan golongan seperti kami. Teruskanlah membantu (penggiat seni)," katanya yang kini berusia 88 tahun.
Sementara itu, Hasni dalam kenyataan berasingan berkata, bantuan RM500 secara sekali beri menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan penggiat seni di negeri ini yang turut terkesan akibat pandemik COVID-19.
''Kerajaan negeri sentiasa bersedia memberi sokongan dan bantuan kepada rakyat dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik COVID-19 ini," katanya.
Turut menerima bantuan, penggiat seni silat dan teater Othman Jupri dan penggiat seni tari klasik Usha Rani Kartikayan. - BERNAMA
#COVID-19 #ekonomi #jkm #PRE Ihsan Johor #Zaleha Hamid #Mat Sentol #pakej rangsangan ekonomi