KUALA LUMPUR: Datuk Baharuddin Ahmad dilantik sebagai pemangku jawatan Pengarah Cawangan Khas berkuat kuasa mulai esok, menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Menerusi kenyataan hari ini, Acryl Sani berkata lantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Zamri Yahya yang akan bersara wajib selepas 36 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"PDRM yakin Baharuddin mampu memikul amanah yang diberikan dengan cemerlang berdasarkan pengalamannya yang luas dalam bidang penugasan Cawangan Khas," katanya.

Acryl Sani turut merakamkan penghargaan kepada Zamry sepanjang kepimpinan beliau yang cemerlang dan kesetiaan serta khidmat baktinya dalam PDRM.

Majlis serah tugas yang berlangsung itu antara lain turut menyaksikan penyerahan jawatan Pengerusi Perkep Cawangan Khas Datin Seri Dr Sazilah Tun Ahmad Sarji kepada pemangkunya Datin Hasimah Yon Mohd Isa.

-- BERNAMA