KETUA jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, yakin bahawa dia kekal menerima kepercayaan penuh daripada kelab dan pemainnya biarpun memperoleh keputusan buruk kebelakangan ini.

Madrid akan berkunjung ke laman Sevilla malam ini selepas gagal merekodkan kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir LaLiga -- tewas kepada Valencia dan Deportivo Alaves selain seri dengan Villarreal.

Los Blancos tidak pernah melalui rekod empat perlawanan tanpa kemenangan di bawah Zidane dan juara bertahan itu kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Real Sociedad -- bagaimanapun, pasukan di tangga kedua, Atletico Madrid, memberikan ancaman lebih besar.

Atletico kendalian Diego Simeone tidak pernah tewas musim ini dan hanya ketinggalan satu mata di belakang La Real dengan kelebihan dua perlawanan.

Kekalahan 0-2 kepada Shakhtar Donetsk, Selasa lalu meningkatkan tekanan buat Zidane memandangkan peluang mereka ke pusingan 16 akan bergantung kepada keputusan perlawanan terakhir peringkat kumpulan tetapi jurulatih berbangsa Perancis itu masih belum berasa gentar.

Ditanya sama ada dia berasakan kelab itu masih menaruh kepercayaan kepadanya, Zidane berkata kepada wartawan: "Ya. Sudah pasti. Saya dapat rasa kepercayaan kelab ini. Saya tidak boleh berasa gembira apabila kami tewas tetapi kami tahu di mana kedudukan kami.

"Kami bertuah dapat berjuang untuk kelab ini dan itulah yang akan saya lakukan sehingga ke penghujungnya, dan pemain juga begitu. Kami perlu bersatu dengan apa yang kamu tahu untuk dilakukan."

Zidane kemudian ditanya sama ada pemainnya masih berpendirian untuk menyokongnya dan soalan itu jelas menjengkelkan bekas pemain kebangsaan Perancis itu.

"Pada akhirnya, anda semua (media) sentiasa mencuba perkara ini, bertanya sama ada pemain bersama saya atau tidak.

"Apa yang dimahukan pemain adalah bersaing dan mereka sentiasa menunjukkan bahawa mereka menyokong saya tetapi itu bukanlah perkara utama.

"Saya pernah menjadi pemain, jurulatih di sini, saya tahu sejarah kelab ini dan benar, adakalanya ia tidak memihak kami.

"(Kritikan) tidak mengganggu saya. Ia kedudukan saya, ia memang seperti itu. Apabila anda tidak menang, ia akan menjadi seperti itu. Amat normal untuk menerima kritikan tetapi ia tidak akan mengubah pemikiran saya. Kami akan meneruskannya," tambahnya.

- Stadium Astro / Muzaffar Musa