NAMA Lee Zii Jia suatu ketika duhulu mungkin asing dalam dunia badminton.

Namun, kini nama jaguh perseorangan negara itu mula menjadi sebutan peminat badminton di seluruh dunia.

Aksi lincahnya di gelanggang bakal digeruni lawan.

Percaturannya di medan 'perang' kini menjadi intipan seteru dari pelosok dunia.

Misi beliau: Menjadi legenda bulu tangkis yang disegani dunia.

Bagaimanapun, langkah Zii Jia baru bermula.


Lahirnya sang juara

Tanggal 29 Mac 1998, Zii Jia dilahirkan di Alor Setar, Kedah.

Mula 'berkenalan' dengan sukan itu ketika usia enam tahun apabila bapanya membawa Zii Jia ke sebuah kelab badminton di negeri jelapang padi.

Daripada sekadar riadah, bakat dan kemahirannya dalam sukan badminton semakin hari semakin menyerlah.

Dalam diri pemuda berketinggian 186 sentimeter ini, 'mengalir' semangat juang yang tinggi.

Pada usia 13 tahun, Zii Jia mula bermain secara profesional.

Kekalahan tiga perlawanan di Thailand pada awal tahun ini ditebus pada Kejohanan Seluruh England.

Pernah hilang keyakinan selepas tiga kekalahan, namun Zii Jia tidak patah semangat
Menamatkan penantian empat tahun Malaysia selepas kali terakhir dicipta oleh Datuk Lee Chong Wei.

“Sebab saya baru habis perlawanan di Terbuka Thailand dan prestasi memang teruk. Jadi saya sedang mencari balik keyakinan saya.

"Selain itu, prestasi saya di (kejohanan) Swiss juga keputusan tidak hebat sangat.

“Saya amat terkejut juga boleh kembali (beraksi) di Seluruh England dan memenangi kejohanan tersebut,” katanya kepada Astro AWANI dalam temu bual eksklusif, baru-baru ini.

Kejohanan Seluruh England menjadi salah satu kejohanan badminton paling lama dan berprestij di dunia.

BACA: Zii Jia sandaran buat negara raih pingat emas Sukan Olimpik Tokyo

BACA: BAM enggan letak tekanan kepada Zii Jia raih emas Olimpik Tokyo

BACA: Zii Jia, Chong Wei ada persamaan - Misbun

Bermula pada 1899 sebagai Kejohanan Terbuka Inggeris, kejohanan ini telah dipertandingkan di tujuh lokasi berbeza.

Sidney H. Smith menjadi pemain perseorangan pertama yang memenangi kejohanan tersebut pada 1900.

Selepas itu, nama besar silih berganti memenangi title All England termasuk Chong Wei dan jaguh badminton China, Lin Dan.

Perjalanan memegang juara Seluruh England tidak mudah, namun bukan mustahil untuk Zii Jia.

Prestasi meyakinkan pemain perseorangan negara ini nyata berjaya menundukkan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota menerusi kemenangan straight set 21-16, 21-19.

Badi enam kali kekalahan di tangan Momota akhirnya berjaya ditebus.

“Memang masa itu saya tak sangka boleh tewaskan dia sebab sebelum ini saya lawan dia dalam lima atau enam kali, semua kalah.

“Jadi, memang dari awal saya masuk (gelanggang), saya memang target rubber set sahaja.

"Jadi, memang tak sangka boleh menang ke atas dia (Momota). Ia juga sesuatu yang bagus untuk karier saya,” ujar Zii Jia.

Perhitungan dengan pemain handalan Denmark pada aksi akhir All England berlangsung dengan penuh dramatik.

Daripada kemenangan di set pertama sehinggalah mengheret kepada kesudahan dengan penentuan sudden death.

Match point silih berganti sebelum akhirnya lawan terpaksa akur pada set pertama dengan kemenangan, 30-29.

Drama dan debaran diteruskan pada set kedua. Axelsen nyata tidak mahu membiarkan Zii Jia selepas merampas set kedua.

Namun, kelebihan berpihak kepada Zii Jia dengan kemenangan 21-9, sekali gus menjadikan namanya antara yang akan dikenang sepanjang zaman.

Kejayaan sulung All England membuktikan Zii Jia begitu dahagakan kegemilangan.

Jatuh bangun menjadi asam garam buat mana-mana pemain sukan. Jika tidak kuat, mungkin ada yang mengangkat bendera putih lebih awal.

Zii Jia terpaksa 'menipu sunat' keluarganya ketika sambutan Tahun Baharu Cina - Gambar Instagram Leeziijia

Zii Jia 'mengasingkan diri' selepas tiga kekalahan

Dalam temu bual bersama Astro AWANI juga, Zii Jii mengakui bahawa beliau pernah mengasingkan diri sementara waktu dek rasa kecewa dengan penampilannya dalam kejohanan sebelum ini.

Aksi buruk di Thailand menghantui rasa bersalah Zii Jia sehingga memaksa beliau untuk tidak pulang meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga tercinta.

Kritikan demi kritikan dilemparkan terhadap aksi hambar tersebut. Namun, anak kepada pasangan Lee Chee Hin dan Lew Siet Peng ini tidak pernah patah semangat!

Kemahiran dipertingkatkan... strategi disusun untuk berdepan jaguh handalan dunia.

“Memang selepas ketiga-tiga aksi di Thailand, keyakinan saya hilang sepenuhnya.

"Apabila balik daripada latihan pun saya ‘blur’, tidak tahu hala tuju nak pergi mana (perjalanan karier).

“Seperti yang saya cakap, dari (kejohanan) Swiss ke All England, saya memang sedang mencari keyakinan saya lagi ketika itu,” luah Zii Jia.

Daripada pulang ke kampung halaman, Zii Jia berlatih seorang diri di Akademi Badminton Malaysia di Kuala Lumpur.

“Bagi saya sebab masa itu saya agak ‘down’ dan tiada semangat untuk sambut hari raya.

"Masa itu, saya juga ‘tipu’ keluarga cakap BAM (Persatuan Badminton Malaysia) tidak beri cuti.

"Saya tinggal seorang sahaja.

“Ketika itu, saya pergi gimnasium dan berlari seorang diri sebab masa itu hanya latihan sahaja dalam otak saya.

"Saya tiada ‘mood’ untuk fikir hal lain dan ia nampak hasil yang bagus selepas All England,” tambahnya lagi.

Pukulan kilas menjadi antara kekuatan kepada pemenang pingat emas perseorangan lelaki di Sukan Asia Tenggara pada 2019 ini.

"Senjata" itu pernah mengejutkan pemain nombor satu dunia, Kento Momota ketika aksi suku akhir Terbuka Korea.

Pengganti Chong Wei

Jun 2019 merupakan detik paling suram buat negara selepas Chong Wei mengumumkan menggantung raketnya.

Sejak itu, Zii Jia antara nama yang disebut-sebut sebagai pengganti Chong Wei.

Bagi Datuk Misbun Sidek, Zii Jia mempunyai persamaan dengan bekas pemain nombor satu dunia itu.

Selaku individu yang bertanggungjawab mencungkil bakat serta membentuk Chong Wei dan Zii Jia, Misbun berpendapat Zii Jia perlu memberi tumpuan bagi meningkatkan aspek kecergasan fizikal.

Namun, bagi Zii Jia, beliau ada percaturannya sendiri.

“Saya memang cakap banyak kali bahawa Datuk Lee Chong Wei adalah salah seorang legenda di Malaysia.

“Rekod kariernya mungkin 10 atau 20 tahun pun tak akan ada orang boleh capai lagi.

"Jadi, bagi saya semua orang ada perjalanan sendiri dan berbeza cerita di dalam kerjaya mereka.

“Saya akan tetap meneruskan perjalanan saya dengan (cara) saya yang tersendiri,” katanya sambil mengakui yang beliau tidak mahu disamakan dengan anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu.

Misi bergelar pemain nombor satu dunia

Zii Jia membaiki penampilannya dalam kejohanan All England kali ini apabila edisi tahun lalu menyaksikan kemaraan beliau disekat oleh Axelsen di peringkat separuh akhir.

Sebagai antara pemain termuda yang memegang gelaran All England, Zia Jia turut mendambakan status pemain nombor satu dunia.

Chong Wei memegang gelaran tersebut sebanyak 348 minggu dari 2008 hingga 2013.

Namun, bagi pemain ranking nombor lapan dunia ini, Zii Jia memberi tempoh dua tahun untuknya mencapai status pemain nombor satu dunia.

“Setakat ini saya berada di senarai lapan pemain terbaik dunia. Sasaran saya seterusnya ialah untuk berada di dalam kelompok lima terbaik dunia.

“Kalau tengok kepada perkembangan sekarang, saya berharap dalam tempoh dua tahun lagi saya akan mencapai sasaran untuk bergelar pemain nombor satu dunia,” katanya.



Saksikan laporan penuh temu bual bersama Zii Jia dalam slot"Stars@AWANI" di Facebook dan YouTube Astro AWANI, Ahad ini (17 April) pada jam 11 pagi. 


 
Sumber Facebook astroawani