Pegawai penyiasat nahas udara Belanda mengumumkan bahawa pihaknya akan mengeluarkan laporan awal siasatan nahas pesawat MH17 pada Selasa depan.

“Laporan awal itu akan membentangkan maklumat berdasarkan sumber dari Lembaga Keselamatan Belanda (OVV),” kata satu kenyataan dari wakil penyiasat Belanda.

Laporan awal ini akan dikeluarkan di laman web OVV pada jam 10 pagi (0800 GMT) dan tiada sidang akhbar yang akan diadakan.

"Siasatan lanjut akan dilakukan sebelum laporan akhir ditulis” kata OVV, yang sebelum ini menyasarkan laporan akhir akan dapat dilengkapkan dalam tempoh setahun.

Belanda adalah pihak yang bertanggungjawab dalam menyediakan laporan hasil siasatan ke atas nahas udara pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 yang meletup di Ukraine 17 Julai lepas dan menyebabkan 298 penumpang terbunuh termasuk 193 rakyat Belanda.

Barat menuduh pihak pemisah pro Rusia yang bertanggjawab menembak jatuh pesawat MH17, manakala Moscow pula menyalahkan Kiev.

Penyiasat nahas udara Belanda telah kembali ke The Hague pada awal bulan Ogos kerana tidak dapat melawat lokasi nahas disebabkan keadaan keselamatan yang semakin merosot dan tidak menentu di negara tersebut.

Pakar nahas udara Ukraine, yang kini menjadi sebahagian daripada pasukan yang OVV bagaimanapun berjaya melawat tempat kejadian sejurus selepas kemalangan.

Kotak hitam pesawat MH17 telah dihantar ke Farnborough di Britain untuk diperiksa oleh cawangan siasatan kemalangan udara negara itu.

Sementara itu, pencarian anggota badan mangsa nahas telah dihentikan sejak awal bulan Ogos lalu kerana pertempuran hebat antara tentera kerajaan danpemberontak pro-Moscow di kawasan tersebut.