Bayaran pampasan sewajarnya kepada ahli keluarga mangsa tragedi pesawat MH17 akan dibuat secepat mungkin.

Sistem penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dalam satu kenyataan berkata: "Kami juga akan melakukan yang terbaik bagi memastikan pampasan yang adil dan secukupnya diberikan kepada keluarga mangsa secepat mungkin.”

MAS turut menafikan pihaknya mengelak daripada membayar pampasan kepada waris penumpang dan kru terbabit mengikut undang-undang.

“Kami sedar dan jelas dengan tanggungjawab undang-undang ke atas mereka yang terjejas berikutan tragedi MH17 dan tidak pernah mengelak untuk membayar pampasan yang ditetapkan undang-undang,” kata MAS.

Kenyataan tersebut dikeluarkan ekoran penerbitan sebuah artikel yang ditulis wartawan antarabangsa, Nick Miller bertajuk “MH17 families denied full compensation by Malaysia Airlines” (Keluarga MH17 dinafikan pampasan penuh oleh Sistem Penerbangan Malaysia).

Artikel tersebut telah dimuatnaik pada 14 September sebelum ditarik balik dan diterbit semula pada 16 September.

Menurut MAS, Miller telah memutarbelitkan fakta dan menyampaikan maklumat yang tidak tepat mengenai bayaran pampasan yang akan diterima keluarga mangsa MH17.

“Artikel tersebut telah memetik kata-kata seorang peguam yang kononnya pakar dalam bidang ini, namun ternyata gagal memahami operasi undang-undang yang berkaitan dengan Konvensyen Montreal 1999 yang mula berkuatkuasa di Australia pada Januari 2009 selaras dengan Pindaan Perundangan Penerbangan Awam (Konvensyen Montreal dan Akta lain 1999) 2008,” kata MAS dalam kenyataannya.

MAS berkata laporan wartawan dari London untuk syarikat penerbitan Australian Fairfax itu jelas kurang maklumat dan hanya mensensasikan berita bagi meningkatkan tekanan dan pergolakan emosi yang dialami keluarga mangsa MH17.

MAS turut menegaskan bahawa pihak mereka terbuka dan bersedia untuk menjawab apa sahaja soalan daripada pihak media agar laporan yang disampaikan telus dan saksama.