Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia, AMSA dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengerahkan penggunaan kenderaan dasar laut AUV Bluefin-21 dari kapal tentera Australia Ocean Shield malam tadi.

Selepas menjalankan operasi peninjauan selama lebih 6 jam, kenderaan itu dibawa naik semula ke permukaan selepasi melangkaui had kedalamannya iaitu sekitar 4,500 meter ke dasar laut. Maklumat yang dikutip kini sedang dianalisa oleh pasukan penyiasat.

Bluefin-21 dijangka kembali dikerahkan untuk operasi dasar laut hari ini bergantung kepada keadaan cuaca.

Sementara itu operasi hari ini menggabungkan sembilan pesawat tentera, dua pesawat awam dan 11 kapal. Ia akan meliputi kawasan seluas 62,063 kilometer persegi iaitu kira-kira 2,170 kilometer ke barat laut Perth di Australia.

Cuaca dijangka hujan di sesetengah kawasan dengan ombak diramalkan mencecah setinggi dua meter. Jarak penglihatan pula dianggarkan sekitar lima kilometer.

Semalam Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Angus Houston mengumumkan penggunaan kenderaan dasar laut Bluefin-21 di Lautan Hindi, bagi memastikan sama ada isyarat yang dikesan sebelum ini datangnya dari kotak hitam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang.

Houston berkata misi pertama Bluefin-21 akan melingkupi kawasan pencarian lima kali lapan kilometer, iaitu kawasan seluas 40 kilometer persegi.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, kira-kira sejam kemudian ketika pesawat itu berada di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke bahagian barat Semenanjung Malaysia termasuk ke Laut Andaman dan Lautan Hindi selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal.

Pencarian dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom.

AMSA juga akan meneruskan usaha mencari pesawat menggunakan analisis pelbagai disiplin berkaitan komunikasi satelit dan prestasi pesawat MH370, yang disediakan pasukan penyiasat pelbagai negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Australia.