Penggunaan kenderaan dasar laut AUV Bluefin-21 dari kapal tentera Australia Ocean Shield telah dikerahkan semula lewat malam tadi dalam operasi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia, MH370.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia, AMSA dalam satu kenyataan memaklumkan, maklumat yang dikutip sedang dianalisa oleh pasukan penyiasat dan setakat ini tiada objek yang ada kaitan dengan pesawat yang hilang itu dijumpai.

Operasi hari ini menggabungkan 11 pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 11 kapal. Ia akan meliputi kawasan seluas 55,151 kilometer persegi, kira-kira 2,087 kilometer ke barat laut Perth di Australia.

Cuaca dijangka hujan di sesetengah kawasan dengan ombak diramalkan mencecah setinggi dua meter. Jarak penglihatan pula dianggarkan sekitar lima kilometer.