Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan pemimpin kanan parti itu sebagai satu fitnah.

Beliau juga menegaskan penyebaran video tersebut bukan masalah besar kepada Pas dan pemimpin berkenaan yang dianggap mangsa fitnah tidak perlu memberi penjelasan kepada parti.

"Kita (PAS) anggap itu satu fitnah...lagi lama dia siar, lagi pahala banyak dapat kepada dia (pemimpin itu). Kita yakin benda itu tidak benar dan dia siar, dia berdosa, biarlah dia siar lagi luas lagi banyak dapat pahala," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rusila, Marang hari ini.

Abdul Hadi juga berkata, perkara itu tidak perlu diangkat ke mesyuarat tergempar Pas Pusat kerana ia "isu kecil" dan parti itu memerlukan banyak masa untuk hal-hal lain.

Bernama melaporkan Abdul Hadi berkata beliau hairan kenapa pemimpin terbabit menjadi sasaran kerana beliau bukan calon Pas yang akan bertanding mana-mana kerusi pada pilihan raya umum ke--13 (PRU-13) nanti.

Beliau juga dipetik sebagai berkata Pas berserah kepada Tuhan untuk memberi petunjuk dan beliau tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang bertanggungjawab membuat fitnah itu.

Pada Khamis, polis dilaporkan menemui 16 bungkusan yang mengandungi gambar dan DVD lucah dipercayai melibatkan seorang pemimpin kanan Pas di Kampung Alor Lintang, Besut.