10,000 hingga 11,000 pegawai, anggota polis pantau kelancaran PRN Johor

Astro Awani
Januari 26, 2022 07:38 MYT
Kamarul Zaman berkata, beliau sudah dimaklumkan akan kesediaan Bukit Aman untuk memberi bantuan. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Bagi melancarkan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, polis Johor bercadang menggerakkan antara 10,000 hingga 11,000 pegawai dan anggotanya.
Jumlah itu akan membabitkan Polis Kontinjen Johor dengan bantuan kekuatan daripada Bukit Aman.
Kamarul Zaman berkata, beliau sudah dimaklumkan akan kesediaan Bukit Aman untuk memberi bantuan dan beliau yakin dapat memastikan perjalanan PRN negeri Johor akan berjalan lancar.
"Seperti contoh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman juga telah berbincang dan mengatakan siap sedia untuk beri bantuan bagi memastikan perjalanan PRN berjalan lancar dan orang ramai boleh keluar mengundi dengan aman," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata pihaknya kini masih menunggu sebarang pengumuman berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung PRN Johor.
Ditanya mengenai cuti, Kamarul Zaman berkata setakat ini cuti anggota dan pegawai masih seperti biasa iaitu 10 peratus daripada jumlah keseluruhan Kontinjen Johor dan tiada arahan cuti dibekukan dibuat sehingga sebarang pengumuman SPR diperolehi.
Pada masa sama, Kamarul Zaman memaklumkan pihaknya sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau media sosial dalam penyebaran fakta dan komen menjelang PRN.
Katanya, pasukan khas itu membabitkan pegawai dan anggota mahir dalam bidang teknologi maklumat daripada pelbagai jabatan dalam pasukan polis.
"Kita akan tubuh pasukan khas untuk pantau kalau ada fakta tidak betul dan pasukan ini kita tubuhkan semasa PRN untuk pastikan semua maklumat benar dan tepat," katanya.
SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Feb ini.
#Johor Memilih #ketua polis johor #Bukit Aman #PRN Johor