SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan bahawa beliau tidak pernah meminta sokongan untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Menurut beliau, Muhyiddin perlu untuk menekan butang seperti yang pernah diperkatakan untuk menjatuhkan kerajaan negeri Johor.

“Tidak mengapa. 119 tidak dapat sekarang, boleh cuba tekan butang. Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ada peluang dapat 222,” ujarnya pada Ahad.

Pada Ahad, Muhyiddin menafikan dakwaan bahawa beliau telah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, beliau tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa beliau telah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Najib mempersoalkan bahawa adakah tindakan Muhyiddin tersebut masih tidak mampu untuk mendapat majoriti.

“Dia bukan tidak cuba, cuma dia tak dapat sokongan 119 ke?

“Ataupun adakah ini bermaksud Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berbohong dan telah memfitnah bahawa Muhyiddin mahu tumbangkan Ismail Sabri untuk kembali sebagai Perdana Menteri dengan serta-merta?” soalnya.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian