Hampir 2,000 anggota polis Pulau Pinang akan ditugaskan sepanjang tempoh kempen dan pembuangan undi pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh bermula dari tarikh penamaan calon pada 25 April ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi pada Jumaat berkata jumlah itu dijangka mencukupi bagi memastikan PRK tersebut berlangsung dalam keadaan aman.

Bagaimanapun beliau berkata sekiranya perlu, pihaknya akan memohon bantuan anggota tambahan dari Bukit Aman, bergantung kepada keadaan sewaktu PRK tersebut.

“Kita tidak boleh beri kesemua jumlahnya. Tapi anggota yang sama akan kita rotate (tukar ganti). Dalam jangkaan saya, ia tidak lebih dari 2,000 dan kita boleh tukar ganti tanpa bantuan luar.

“Kalau perlu lagi bantuan luar, saya akan buat permohonan dari Bukit Aman. Saya jangka kita perlukan sedikit saja,” ujar Abdul Rahim.

Menurutnya 2,000 anggota terbabit adalah satu pertiga dari kekuatan keseluruhan Kontinjen Polis Pulau Pinang yang berjumlah 6,000 anggota.

Beliau berkata kesemua anggota terlibat akan turut ditempatkan di 25 pusat pembuangan undi di Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara sekali gus memastikan kesemua 71,890 pengundi berdaftar dapat membuang undi dengan aman.

Berikutan itu, Abdul Rahim mengingatkan parti-parti politik dan penyokong mereka supaya tidak menimbulkan kekacauan dengan memainkan isu-isu sensitif sepanjang proses berkempen hingga ke hari pembuangan undi.

“Saya nasihatkan agar jangan main isu-isu yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam. Saya sebagai Ketua Polis Negeri bertanggumgjawab dan tidak akan berkompromi dengan soal keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam,” ujar beliau.

Beliau berkata, polis akan memantau keadaan setiap masa dari hari penamaan calon, sepanjang tempoh berkempen sehinggalah kepada hari pembuangan undi dan proses pengiraan undi.

Untuk itu, Abdul Rahim berkata polis akan melancarkan ‘Ops Payung’ seminggu sebelum tarikh penamaan calon iaitu anggota polis akan ditempatkan di 35 stesen yang dikenal pasti sebagai kawasan panas.

PRK Permatang Pauh diadakan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 25 April ini sebagai tarikh penamaan calon manakala tarikh pembuangan undi ditetapkan pada 7 Mei.