4,000 rumah mampu milik, lesen penjaja percuma tawaran PH-BN di Negeri Sembilan

Ridauddin Daud
Ogos 6, 2023 11:00 MYT
Menurut Aminuddin, manifesto itu berteraskan lima tekad bagi mencapai 'Negeri Maju, Ekonomi Mampan dan Rakyat Sejahtera. - Gambar fail/Bernama
SEREMBAN: Menyediakan 4,000 unit rumah harga mampu milik, menstruktur semula bandar-bandar kecil dan lesen penjaja percuma merupakan antara tawaran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.
Selain itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut mengumumkan bantuan khas kemasukan ke Institusi Pengajian tinggi (IPT) sebanyak RM1,000 untuk Ijazah Sarjana Muda, RM750 untuk Diploma dan RM500 untuk sijil akan diteruskan sekiranya gabungan itu dipilih menjadi kerajaan negeri.
"Kita juga menawarkan bantuan perkahwinan RM500 kepada setiap seorang anak negeri yang mendirikan rumah tangga buat kali pertama.
"Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan ini adalah Aku Janji yang inklusif dan menjadi satu komitmen pemerintahan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.
"Ia untuk menjana peluang dan memberi nikmat kepada rakyat dalam memacu pembangunan negeri dan mensejahterakan rakyat," katanya ketika mengumumkan manifesto PH-BN Negeri Sembilan pada Ahad.
Menurutnya, manifesto itu berteraskan lima tekad bagi mencapai 'Negeri Maju, Ekonomi Mampan dan Rakyat Sejahtera' yang turut memfokuskan kepada 10 teras utama dengan 70 inisiatif bakal dilaksanakan.
"Gabungan ini juga akan memperkenalkan Caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional sebanyak RM100 bagi kelahiran anak-anak Negeri Sembilan bermula pada tahun 2023-2027.
"Baucar RM150 untuk mendapatkan lesen motosikal kepada anak muda daripada keluarga B40 berusia antara 16 sehingga 21 tahun turut ditawarkan kepada rakyat Negeri Sembilan," ujarnya.
Berikut merupakan pecahan teras utama Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan diumumkan Aminuddin:
70 Inisiatif Untuk Rakyat di bawah 10 Teras Utama iaitu :
TERAS 1 : Ekonomi, Pelaburan dan Infrastruktur
TERAS 2 : Pendidikan dan Modal Insan
TERAS 3 : Kesejahteraan Rakyat
TERAS 4 : Belia, Wanita, Keluarga, Sukan dan Keusahawanan
TERAS 5 : Tanah dan Perumahan
TERAS 6 : Pertanian
TERAS 7 : Pelancongan dan Alam Sekitar
TERAS 8 : Agama, Adat Budaya dan Masyarakat Orang Asli
TERAS 9 : Perkhidmatan Awam
TERAS 10 : FELDA
Sabtu lepas, Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan telah melancarkan manifesto gabungan mereka yang diumumkan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
#Barisan Nasional #Institusi Pengajian Tinggi #pelancongan #Pakatan Harapan