KUALA LUMPUR: Seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut dijangka berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu.

Istiadat yang dijadualkan bermula pukul 2.30 petang itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

[TERKINI] Pengumuman anggota Kabinet Malaysia oleh Perdana Menteri | 27 Ogos 2021

Jumaat lalu, Ismail Sabri mengumumkan barisan Kabinet termasuk empat menteri kanan di Jabatan Perdana Menteri. Pengumuman itu dilakukan tujuh hari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Seri Paduka.

Ahli Parlimen Bera itu dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.


[INFOGRAFIK] Barisan Kabinet Malaysia 2021