KUALA LUMPUR: Seramai 70 Ahli Parlimen dalam blok kerajaan bebas untuk mengundi mana-mana pihak kerana tidak terikat dengan Perlembagaan parti yang mengatakan sekiranya tidak mengikut arahan parti perlu mengosongkan kerusi, kata saintis politik Sunway University, Prof Wong Chin Huat.

Chin Huat berkata, setakat ini, hanya DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang telah meminda Perlembagaan parti mereka.

Katanya, 48 Ahli Parlimen DAP dan Amanah terikat dengan Perlembagaan parti dan perlu mengosongkan kerusi sekiranya engkar arahan parti.

Selain DAP dan Amanah, kata Chin Huat, Barisan Nasional (BN) juga mendakwa terdapat perjanjian antara gabungan tersebut dan 30 orang Ahli Parlimen yang mengikat mereka daripada melanggar arahan parti..

Ini bermakna 70 Ahli Parlimen Kerajaan yang selebihnya bebas sokong mana-mana pihak tanpa akibat pengkosongan kerusi.

Menurut beliau, Klausa 4(B) Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani parti-parti yang menyokong kerajaan adalah kenyataan hasrat semata-mata.

"Maksudnya, perjanjian ini kata parti-parti iaitu lima pihak yang terlibat itu perlu pastikan tidak berlaku perlanggaran perjanjian.

"Tetapi bagaimana mereka boleh pastikan, yang pertama mereka perlu pinda Perlembagaan parti supaya pengingkaran terhadap perintah parti dalam pengundian percaya dan perbekalan menjadi satu asas mereka berhenti sebagai ahli parti atau dilihat sebagai satu tindakan meletak jawatan.

"Kalau tidak ada peruntukan sebegitu, parti perlu ada alat-alat undang-undang lain seperti perjanjian antara parti dengan Ahli Parlimen yang boleh membawa kesan yang sama.

"Persoalannnya apakah alat yang ada? Kita tahu bahawa DAP dan Amanah telah membuat pindaan Perlembagaan parti mereka maka 48 Ahli Parlimen dari kedua-dua parti ini terikat dengan perjanjian yang telah ditandatangani," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berpendapat, sekiranya Perikatan Nasional (PN) gagal memujuk sekurang-kurangnya 38 Ahli Parlimen blok Kerajaan untuk menolak usul undi percaya, ia bukan lah disebabkan perjanjian yang telah ditandatangani pada Jumaat.

"Kalau Tan Sri Muhyiddin gagal dapat memujuk sekurang-kurangnya 38 Ahli Parlimen blok kerajaan bagi memastikan Datuk Seri Anwar berada dalam kumpulan minoriti, itu kegagalan Tan Sri Muhyiddin.

"Beliau tidak boleh mengatakan kegagalan untuk menarik sokongan adalah disebabkan perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani itu," katanya lagi.

Chin Huat menjelaskan, jika PN gagal mendapat sokongan sekurang-kurangnya 38 Ahli Parlimen blok kerajaan, maka keabsahan undi percaya tidak boleh dipertikaikan dengan menyalahkan perjanjian persefahaman yang telah dibuat.

Usul undi percaya yang akan dibentangkan pada Sidang Khas Dewan Rakyat pada Isnin menjadi perhatian kerana ia bakal menguji keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan kerajaan yang dibentuknya.

Jumaat lalu, lima parti yang bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia menandatangani perjanjian persefahaman yang antara lain perlu memastikan semua Ahli Parlimen dalam parti blok kerajaan memberi sokongan terhadap usul daripada kerajaan.