Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan parti itu dipelawa oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, pelawaan itu ditolak dengan cara baik kerana GPS ada pendirian dan perjuangan politiknya tersendiri, namun terbuka untuk bekerjasama dengan PN.

"Tan Sri (Muhyiddin) tanya, adakah anda (GPS) akan menjadi anggota Perikatan Nasional.

"Saya kata tidak, kerana kami bergerak sendiri dan kerajaan pusat adalah 'PN campur GPS'," jelas Abang Johari dalam amanatnya Majlis Konvensyen Khas PBB Zon Utara di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari lagi, selepas membuat keputusan berkenaan, DAP Sarawak cuba memujuk GPS untuk bersama Pakatan Harapan dan melupakan sengketa lama.

"Pembangkang tanya, mengapa kita (GPS) mahu bersama Pas dan Bersatu. Saya kata, kita hanya menubuhkan kerajaan pusat demi rakyat Malaysia.

"DAP kemudiannya keluarkan kenyataan meminta sokongan GPS dengan mengatakan apa yang berlalu, biarkan berlalu," dedahnya lagi.

Bagaimanapun beliau dengan tegas enggan bekerjasama dengan parti berkenaan susulan tindak-tanduk parti berkenaan ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat yang membuat pelbagai tuduhan terhadap Sarawak.

Antaranya menuduh Sarawak akan bankrap selain tindakan membatalkan beberapa projek infrastruktur yang telah dimuktamadkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.