Tumpuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas selesai pemilihan parti ialah mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, ini jauh lebih penting daripada memanjangkan isu pemilihan PKR yang ternyata terdapat kelemahan dalam pengurusannya.

Katanya, memanjangkan isu pemilihan parti akan membuka ruang bagi pihak luar menyerang Anwar sebagai Presiden PKR baharu.

"Ada beberapa perkara yang ditimbulkan mengenai perjalanan pemilihan parti dan kedua-dua belah pihak sememangnya ada masalah dengan proses pemilihan.

"Tetapi, saya ambil keputusan untuk tidak memanjangkan kerana saya berpendapat usaha parti kita sekarang perlu tumpu kepada mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

"Memanjangkan isu pemilihan akan menyebabkan Anwar diserang. Ada suara-suara yang berkata, kegagalan pemilihan adalah kegagalan Anwar," kata Rafizi dalam ucapan penggulunggannya di Kongres Nasional PKR 2018 di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut mendakwa ada pihak dari dalam parti sendiri yang cuba memperlekehkan usaha mengangkat Anwar sebagai PM.

"Saya ingin lahirkan sedikit kekecewaan dan perhati perbincangan WhatsApp dari pemimpin (parti) yang memperlekeh usaha menjadikan Anwar sebagai PM.

"Kita boleh berbeza pendapat, tetapi jangan sampai beri ruang kepada orang luar menyerang parti dan Anwar. Jadi, hentikan segera," katanya.

Antara lain, Rafizi beliau beliau menyertai PKR sejak umur 21 tahun kerana perjuangan parti itu untuk membela yang miskin dan lemah.

Oleh itu, tambahnya, beliau akan meneruskan usaha membela mereka yang kurang bernasib baik dengan menubuhkan koperasi.